Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

1) JUMLAH PENDUDUK SELANGOR YANG BELUM DIVAKSIN

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah penduduk Selangor dari umur 12 tahun dan ke atas yang belum divaksin?

    a) umlah penduduk Selangor dari umur 12 tahun ke atas yang belum divaksin sehingga 5 November 2021 adalah seperti berikut:

    PERKARA ANGGARAN POPULASI BIL TELAH TERIMA SEKURANG-KURANGNYA DOS 1 ANGGARAN BAKI BELUM DIVAKSIN
    Populasi 12-17 tahun 569,100 480,124 88,976
    Populasi >18 tahun 4,844,000 4,251,015 592,985
    Jumlah 5,413,100 4,731,139 681,961

     

  2. Apakah sebab mereka belum divaksin? Sila nyatakan pecahan mengikut sebab-sebab.

    Bagi populasi remaja (12-17 tahun), pemberian vaksin COVID-19 masih dalam proses/masih berjalan dengan semua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak NGO. Bagi kumpulan remaja yang sukar untuk hadir ke PPV/kumpulan tertentu seperti remaja yang tidak bersekolah, remaja orang asli, remaja di dalam pusat institusi pemulihan atau rumah perlindungan, proses pemberian vaksinasi sedang berjalan melalui program jangkau luar/outreach yang dijalankan oleh Pasukan Outreach PKD dan NGO seperti MERCY, IMARET.

    Mengikut anggaran populasi penduduk dewasa (>18 tahun) negeri Selangor, seramai 87.8% telah divaksinasi sekurang-kurangnya dos 1. Sebahagian kecil yang belum divaksinasi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori yang tidak boleh menerima vaksin atau mempunyai kontraindikasi kepada vaksin COVID-19, manakala selebihnya merupakan golongan yang menolak vaksin. Golongan unreached population sedang dibuat jangkau luar oleh pasukan outreach PKD.

  3. Berapakah ramai penjawat awam yang belum divaksin?

    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 (PP Bil.4/2021)-Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan berkuat kuasa 18 Oktober 2021. Pekeliling perkhidmatan ini telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 10 November 2021 untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri bertujuan menggunapakai sepenuhnya PP Bil.4/2021 di Pentadbiran ini.

     

    Berdasarkan pekeliling perkhidmatan tersebut dinyatakan bahawa penjawat awam atau pegawai perkhidmatan awam adalah bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan. Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap yang optimum.

     

    Oleh itu, pada atau selepas 1 November 2021, pegawai boleh diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap dengan cara mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 dan mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan Ketua Jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan. Sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi COVID-19 atas sebab kesihatan, pegawai boleh diarahkan Ketua Jabatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar bagi mengesahkan bahawa pegawai tidak layak untuk menerima imunisasi COVID-19 daripada segi perubatan (medically inelligable).

    Untuk makluman, jumlah keseluruhan terkini penjawat awam di negeri Selangor adalah seramai *22,314 orang. (*sumber rasmi daripada data Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia 2.0 atau Human Resource Management Information System 2.0 (HRMIS 2.0))

     

    Berdasarkan data yang diterima daripada 43 jabatan dan agensi sehingga 16 November 2021 jumlah penjawat awam yang masih belum mendapatkan dos imunisasi COVID-19 hanya seramai 132 orang iaitu 0.59% daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.