Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
210) JUDI HARAM DISEBALIK LESEN PUSAT HIBURAN
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah mekanisma, kaedah dan syarat-syarat yang diambil kira dalam memberi kelulusan lesen-lesen Pusat Hiburan oleh PBT?
Kaedah dan syarat-syarat yang diambil kira dalam memberi kelulusan lesen-lesen Pusat Hiburan adalah seperti berikut:-
- Keadaan premis – Jarak premis antara rumah ibadat, pejabat kerajaan dan institusi pendidikan
- Jenis aktiviti yang dijalankan
- Ulasan secara bersepadu daripada agensi luar seperti PDRM, Bomba dan Jabatan Penguatkuasaan.
-
Adakah Kerajaan Negeri telah membuat penguatkuasaan yang tegas dalam membenteras pusat judi haram dan memantau aktiviti pelesen pusat hiburan?
Kerajaan Negeri memandang serius kegiatan judi haram yang berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK). Untuk itu, pada tahun 2017, bilangan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh PBT adalah berjumlah 774 operasi di mana 94 adalah operasi bersepadu dan 680 adalah operasi tidak bersepadu. Manakala pada tahun 2018 pula sehingga Julai 2018 sebanyak 199 bilangan operasi yang dilaksanakan oleh PBT yang merangkumi 34 bilangan operasi bersepadu dan 165 bilangan operasi tidak bersepadu.
Selain itu, dalam memberi pertimbangan terhadap kelulusan lesen-lesen pusat hiburan, pihak PBT mensyaratkan supaya semua permohonan lesen perlu mendapatkan Permit Polis terlebih dahulu. Ini kerana PBT tiada kepakaran dalam menentukan jenis lesen-lesen hiburan yang mempunyai unsur perjudian atau tidak. Permit Polis tersebut merupakan satu langkah kawalan yang diambil oleh PBT sebelum sesuatu lesen diluluskan.