Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
101) JOM SHOPPING PERAYAAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan akan mempertimbangkan nilai baucar JSP perayaan dapat dikurangkan supaya dapat tambah kuota yang sedia ada?
Sepertimana Yang Berhormat Pandamaran sedia maklum, Program Pemberian Bantuan Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Jom Shopping Perayaan merupakan program yang dilaksanakan pada setiap tahun oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan.
Sehubungan dengan itu, melalui ucapan Belanjawan Selangor 2023 yang telah diumumkan pada 25 November 2022 yang lalu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan program ini pada tahun 2023 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.48 juta yang akan disasarkan kepada 82,400 orang penerima manfaat.
Justeru, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meningkatkan nilai bantuan baucar beli-belah daripada RM100.00 kepada RM200.00 dan menambah baik syarat pendapatan penerima manfaat iaitu kriteria had pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat telah ditingkatkan daripada RM2,000.00 kepada RM3,000.00. Penambahbaikan ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri yang memahami keperluan rakyatnya susulan situasi keadaan ekonomi terkini yang tidak menentu di mana harga barangan makanan dan keperluan asas meningkat secara mendadak.
Oleh yang demikian, kenaikan nilai baucar kepada RM200.00 merupakan nilai yang munasabah untuk seisi keluarga yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut perayaan.
Untuk makluman Yang Berhormat Pandamaran juga, Kerajaan Negeri tidak mengurangkan kuota sedia ada iaitu masih kekal kepada 82,400 penerima manfaat, malahan Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan dua kali ganda untuk menjadikan nilai RM100.00 kepada RM200.00. Namun begitu, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula keperluan untuk meningkatkan kuota di masa hadapan namun ianya adalah tertakluk kepada peruntukan kewangan semasa.