Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

52) JOM SHOPPING

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Samada kerajaan sudi memikirkan semula program jom shopping dan mengguna dana tersebut untuk pelaburan sumber manusia jangka masa panjang contohnya pendidikan, biasiswa dan lain-lain?

    Kerajaan Negeri sentiasa tuntas dalam menyelusuri pelbagai inisiatif untuk membantu mengurangkan masalah kemiskinan yang kian menghimpit rakyat. Antara inisiatif tersebut adalah Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping. Program tersebut merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi yang bermatlamat meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Melalui program ini, setiap keluarga yang kurang berkemampuan berpeluang membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Dengan peruntukan berjumlah  RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat, program ini merupakan salah satu daripada empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mengutamakan kebajikan rakyat serta memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

    Selain daripada program ini, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan pelbagai program bantuan kebajikan yang lain seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang mempunyai matlamat yang sama dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

    Program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor ini akan terus diperkukuh dan dipelbagai oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Di samping program-program kebajikan, Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dan peka dalam memastikan jaminan serta peluang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi supaya terus dinikmati oleh rakyat Negeri Selangor.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri telahpun selangkah di hadapan dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk sektor pendidikan.

    Sebagai contoh, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan amaun yang cukup besar iaitu berjumlah RM101.73 juta khusus untuk sektor pendidikan tinggi. Antara inisiatif tersebut adalah merangkumi Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) dengan peruntukan RM52 juta, Program Peduli Siswa dan Peduli Siswa Timur Tengah dengan peruntukan RM10 juta, Program Pembangunan Modal Insan dengan kos peruntukan RM5.6 juta, Program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT) dengan peruntukan berjumlah RM8 juta dan pelbagai lagi. Program-program seumpama ini dapat memberikan keberkesanan dan impak positif yang bersifat jangka panjang kepada rakyat serta dilihat berupaya melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan tinggi, kompetitif dan berdaya saing.

    Dalam memastikan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang syor atau cadangan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan melihat semula keperluan pelaksanaan Program Jom Shopping pada masa akan datang samada ianya masih relevan untuk diteruskan di samping memastikan setiap peruntukan bagi setiap inisiatif yang dirangka adalah sejajar dan bersesuaian dengan prestasi kewangan negeri serta senario ekonomi semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.