Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
131) JMB & KRT
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi membantu JMB-JMB yang bermasalah dari segi kewangan dalam menguruskan pentadbiran dan pengurusan dalam menguruskan kerja-kerja selenggara?
Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka. Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan berhubung penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi setiap pangsapuri kos rendah yang tidak mampu menguruskan bangunan akibat defisit kutipan caj pengurusan. Dalam hal ini, pihak Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu memperkasakan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757).
Kerajaan Negeri melihat tiga aspek utama dalam membantu JMB-JMB yang bermasalah dari segi kewangan iaitu (i) aspek ekonomi; (ii) aspek sosial dan (iii) aspek perundangan.
(i) Aspek Ekonomi
Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program-program yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan badan pengurusan pangsapuri terutama kos rendah dan sederhana rendah. Antaranya program kebun komuniti atau Laman Hijau Strata, K lnovasi Pusat kitar strata dan MEKAR (Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Negeri Selangor). Program-program memberdayakan ekonomi ini akan memberi impak positf kepada pendapatan komuniti pangsapuri dan badan pengurusan dapat menjana sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan pangsapuri. Misalnya penglibatan komuniti dalam projek Laman Hijau Strata melalui penjualan hasil pertanian dan pusat Kitar Strata secara pemberian kupon kepada pemilik di mana ia boleh dikontra dengan pembayaran caj.
Satu sistem Laporan Kewangan Pangsapuri di Negeri Selangor (E-COB) juga telah dibangunkan khusus untuk membantu badan pengurusan JMB/MC di Negeri Selangor menyediakan laporan kewangan dan perbelanjaan pangsapuri secara digital. Usaha ini bagi membantu jawatankuasa badan pengurusan menentukan perbelanjaan yang penting sahaja mengikut kemampuan kewangan selain dipantau secara terus oleh COB-COB mengikut kawasan.
(ii) Aspek Sosial
Pada aspek ini, penekanan diberi kepada usaha-usaha memperkasakan peranan JMB melalui latihan dan kursus kepimpinan seperti Kursus Pemantapan Pengurusan Bangunan Dan Kediaman Berstrata (C-SMART). Kursus C-SMART ini difokuskan kepada JMB/MC sebagai inisiatif memantapkan jawatankuasa badan pengurusan dari aspek pengurusan kewangan, pentadbiran dan penyelenggaraan pangsapuri yang baik dan berkesan. Tenaga pengajar dan penceramah kursus C-SMART diambil di kalangan mereka yang berpengalaman dan profesional mengikut modul modul latihan yang disediakan.
Kerajaan Negeri juga memahami permasalahan kewangan yang dihadapi oleh JMB untuk membaikpulih kerosakan harta bersama di pangsapuri. Oleh demikian, penekanan kepada aspek peningkatan kualiti, keindahan dan keceriaan bangunan juga disediakan melalui program baik pulih di bawah skim CERIA (Caring Government for Improvement Aids) dan bantuan SEROJA 2.0 bagi pemasangan sistem CCTV serta alat perangkap nyamuk.
(iii) Aspek Perundangan
Di bawah aspek perundangan, Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] telah memperuntukkan kaedah kepada pihak pengurusan pangsapuri iaitu pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk mendapatkan kutipan bayaran caj seperti berikut:
• Seksyen 34, 78 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]
Memfailkan saman atau tuntutan ke mahkamah atau Tribunal Pengurusan Strata. Sekiranya pemilik masih ingkar mematuhi keputusan mahkamah atau tribunal, mereka boleh didakwa ke mahkamah oleh COB melalui izin pendakwaan dan apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagiannya kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.
• Seksyen 35, 79 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]
Melaksanakan penahanan harta alih. Pihak Berkuasa Tempatan telah diminta untuk membantu membuat operasi bersepadu bersama pihak pengurusan pangsapuri untuk melaksanakan proses penahanan harta alih dan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan.