Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
85) JKR SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Persimpangan di Pekan Rasa, Kuala Kubu Baharu (dari jalan Negeri JKR iaitu Jalan Kuala Kali - Rasa bersambung dengan FT001 Jalan KL-Tanjong Malim) telah dikategori sebagai 'blackspot' kemalangan jalan raya. Apakah rancangan Kerajaan Selangor untuk menaiktaf jalan di situ demi menjamin keselamatan pengguna jalan?
Kajian telah dilaksanakan oleh Bahagian Kejuruteraan Trafik, Cawangan Jalan JKR Malaysia pada tahun ini. Berdasarkan kajian tersebut, JKR Selangor akan mengemukakan permohonan cadangan penaiktarafan persimpangan di FT001 Seksyen 441.6 dan penggantian jambatan Sungai Engkak (FT001/441/50) ke Kementerian Kerja Raya pada tahun ini.
-
Selain daripada peruntukan Kerajaan Pusat, apakah usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Selangor bagi menaiktaraf jalan di situ?
Sekiranya permohonan peruntukan menaiktaraf persimpangan tidak diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya. JKR Selangor akan mengangkat permohonan di bawah peruntukan pembangunan P12 dengan syarat jajaran tersebut perlu diwartakan sebagai jalan negeri.
-
Apakah status tanah Kerajaan di sekitar Jambatan Sungai Engkak, adakah kelonggaran akan diberi kepada pengguna tanah di situ sekiranya Kerajaan Selangor tidak ada pelaksanaan projek dalam jangka masa 2 sehingga 3 tahun ini?
Kawasan yang dimaksudkan adalah terletak di sepanjang Jalan Kuala Kali yang melibatkan Lot 3567 seluas 9,729.278 meter persegi, Lot 71 seluas 12,976.551 meter persegi, Lot 70 seluas 11,078.029 meter persegi dan simpanan Jalan Kuala Kali (simpang empat ke Pekan Rasa) serta sebahagian tanah Kerajaan bersebelahan Kilang Theen Seng Paper.
Terdahulu Lot 3567, Lot 71, Lot 70 adalah merupakan tanah milik yang telah dibuat Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan perumahan oleh Pihak Kerajaan Negeri Selangor (SSI). Kawasan tanah-tanah tersebut masih lagi berstatus tanah Kerajaan.
Sebahagian kawasan juga adalah merupakan tanah Kerajaan akibat daripada Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan pembesaran Jalan Raya Persekutuan Kuala Lumpur – Ipoh dan Jalan Kuala Kali. Kawasan tersebut akan dirizabkan sebagai rizab jalan.
Siasatan atas tapak mendapati terdapat bengkel, kedai cat, setor ,menyimpan lori dan bangunan terbiar yang diusahakan secara tanpa izin. Adalah menjadi kesalahan mendirikan bangunan dan usaha di atas tanah Kerajaan tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di bawah Seksyen 425 di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965. Kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN 1965 merujuk kepada mana-mana orang tanpa kuasa yang sah menduduki, mendirikan bangunan, membersih, menggali, mengepung, menanam, memotong atau mengalihkan apa-apa kayuan dari mana-mana tanah Kerajaan, tanah rizab atau tanah lombong. Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan denda yang tidak melebihi Lima Ratus Ribu (500,000.00) Ringgit Malaysia atau dipenjarakan untuk satu tempoh tidak melebihi lima (5) tahun.
Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor telah menyampaikan surat pemberitahuan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kepada pengusaha-pengusaha ke atas Lot 3567, Lot 71 dan tanah yang tiada berlot pada 12 Julai 2024.
Namun begitu, pengusaha-pengusaha yang berminat mengusahakan sementara tanah tersebut boleh memohon secara Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk diangkat pertimbangan oleh Pihak Berkuasa Negeri Selangor (PBN) sebelum pelaksanaan projek kerajaan di atas tanah-tanah tersebut.