Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

6) JETI PENDARATAN IKAN BAGAN SEKINCHAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan cadangan tapak baru jeti pendaratan ikan tersebut?

    Tender bagi Kajian Pemuliharaan Muara Sungai dan Kawasan Hakisan Pantai Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Bagan Sekinchan yang merangkumi cadangan tapak baru jeti pendaratan ikan telah ditutup pada 15 Mac 2017. Selepas penilaian dokumen tender yang diterima, juru perunding akan dilantik bagi melaksanakan kajian bagi tempoh enam (6) bulan.

  2. Sila nyatakan kenapa begitu lama proses kajian tapak sehingga kini masih belum diselesaikan?

    Proses kajian mengambil masa kerana ianya melibatkan penyediaan terma rujukan yang perlu dipersetujui dan mendapat pandangan semua agensi yang terlibat seperti JPS Malaysia Bahagian Pantai, JPS Selangor, JPS Kuala Selangor, JPS Sabak Bernam, MD Sabak Bernam dan PTD Sabak Bernam. Ini bagi memastikan Kajian yang akan dilaksanakan adalah lengkap dan mengambil kira dari segi kesan hidro dinamik di kawasan muara sungai dan pantai.

    Kronologi dalam melaksanakan Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Dan Kawasan Hakisan Pantai Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Bagan Sekinchan adalah seperti di Lampiran A.

  3. Sila nyatakan apakah perancangan jangka panjang bagi memperkasakan sektor perikanan di Sekinchan?

    Untuk makluman Y.B., Jabatan Perikanan Negeri Selangor tiada maklumat khusus dalam sektor perikanan bagi DUN Sekinchan. Statistik kami adalah berdasarkan daerah, bagi soalan ini jawapan tertumpu kepada daerah Sabak Bernam.

    Data tahun 2016

    Penghasilan sektor perikanan terdiri daripada perikanan tangkapan (nelayan laut), akuakultur dan perikanan darat (nelayan darat). Semua subsektor ini menyumbang sebanyak 255,203.75mt kepada sektor perikanan daerah Sabak Bernam. Penyumbang terbanyak adalah dari subsektor perikanan tangkapan (95.75%) diikuti oleh akuakultur (3.49%) dan perikanan darat (0.76%).

    Bilangan pekerjaan yang ditawarkan oleh sektor ini pada tahun 2016 adalah sebanyak 3,656 pekerjaan yang terdiri daripada nelayan laut, akuakultur dan nelayan sungai masing-masing dengan jumlah 3250, 387 dan 19. Nelayan laut di Sabak Bernam terdiri daripada tiga pecahan kategori iaitu nelayan Zon A (sampan) Zon B (terdiri daripada bot-bot nelayan) dan Zon C (terdiri daripada bot-bot nelayan laut dalam). Manakala penternak yang terlibat dalam akuakultur terdiri dari penternak kerang (utama), sangkar (ikan air payau), kolam air tawar (ikan air tawar) dan kolam air payau (udang laut).

    Sabak Bernam adalah antara daerah pengeluaran utama akuakultur air payau yang dikuasai oleh pengeluaran kerang dewasa. Sabak Bernam merupakan pengeluaran kerang dewasa kedua dalam Negeri Selangor selepas daerah Kuala Selangor. Pada tahun 2016, Sabak Bernam menyumbang 4.76% pengeluaran kerang Selangor.

    Sabak bernam juga merupakan daerah utama pengeluar benih kerang semulajadi. Musim utama benih kerang selalunya bermula pada Oktober hingga Mac / April tahun berikutnya. Pada akhir tahun 2016 sehingga kini (Mac 2017), pengutipan benih kerang semulajadi di Sabak Bernam adalah sebanyak 25,791 tin dengan anggaran nilai RM 6,683,100 juta.  Sehingga kini, daerah Sabak Bernam adalah pengeluar benih kerang semulajadi tertinggi di Malaysia yang mana benih ini digunakan untuk ternakan kerang di beberapa negeri lain (termasuk ke luar negara secara penyeludupan).

    Berikut adalah prestasi pengeluaran sektor perikanan daerah Sabak Bernam;

    TAHUN PENGELUARAN (mt)
    Perikanan tangkapan AKUAKULTUR* perikanan darat (kg)
    2012 59,778.92 5,960.85 202.47
    2013 51,402.17 1,640.50 379.70
    2014 48,541.49 1,636.96 370.68
    2015 39,717.51 973.09 603.75
    2016 42,123.87 1,536.61 335.18

    Nota : Majoriti penternak akuakultur adalah penternak kerang

    Berikut adalah bilangan penternak dan nelayan di daerah Sabak Bernam;

    TAHUN BILANGAN
    Perikanan tangkapan AKUAKULTUR perikanan darat
    2012 Tiada Maklumat 389 Tiada Maklumat
    2013 2,191 383 Tiada Maklumat
    2014 2,056 379 51
    2015 2,339 379 26
    2016 3,250 387 19

    Untuk pengetahuan Y.B., Jabatan Perikanan Negeri Selangor hanya menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya dan melaksanakan pemantauan di kawasan tersebut. Tiada sebarang perancangan jangka panjang atau jangka pendek bagi daerah Sabak Bernam mahupun DUN Sekinchan kerana kekangan peruntukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.