Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

190) JETI PELANCONGAN DAN REKREASI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar sediada kerajaan berkenaan pembukaan dan pemutihan jeti pelancongan dan rekreasi?

    Selaras dengan Pelan Tindakan Pengurusan Jeti Negeri Selangor yang diluluskan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Bil 20/2015, jeti-jeti sedia ada yang telah diinventori akan dipertimbangkan kelulusan pemutihan termasuk jeti pelancongan dan rekreasi.

    Pada masa ini, 14 permohonan jeti pelancongan telah dibentangkan di dalam Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor dan 7 jeti pelancongan telah diluluskan. Permohonan jeti pelancongan perlu mengambil kira kemudahan seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan dan tandas serta keselamatan struktur jeti.

  2. Bagaimanakah kerajaan dapat membantu para pengusaha jeti pelancongan dan rekreasi bagi menambah pendapatan?

    Pada masa ini, para pengusaha jeti pelancongan tidak dikenakan sebarang caj ke atas operasi yang dilaksanakan. Selain daripada itu siri promosi melalui kempen turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi promosi negeri, iaitu Tourism Selangor Sdn. Bhd. pihak PBT juga turut menyediakan ruang kerjasama antara pengusaha dan agensi pelancongan bagi menyediakan pakej yang bersesuaian kepada pelancong. Kerajaan Negeri juga turut menyelaras pembangunan infrastruktur asas dan sokongan seperti jalan akses, lampu jalan dan jaringan telekomunikasi bagi keselesaan pengunjung seterusnya meningkatkan kedatangan pengunjung.

  3. Senaraikan bantuan Kerajaan Negeri yang telah diberikan kepada golongan nelayan ini.

    Bantuan yang disediakan kepada para nelayan di Negeri Selangor adalah berbentuk peralatan menangkap ikan seperti minyak petrol, pukat, fish finder, sampan dan enjin bot selain daripada membaik pulih jeti-jeti nelayan yang memerlukannya.

    Dari tahun 2020 hingga 2022, sejumlah RM1,240,900.00 telah dibelanjakan untuk tujuan bantuan nelayan yang melibatkan seramai 2,103 orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.