Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
165) JEREBU
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah keadaan jerebu yang berlaku di Negeri Selangor dan nyatakan kawasan-kawasan yang teruk mengalami jerebu tersebut ?
Keadaan cuaca panas dan kering tanpa hujan yang dialami oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sejak awal bulan Februari 2014 hingga Mac tahun ini telah menyebabkan kebakaran kawasan hutan dan belukar di beberapa kawasan di Negeri Selangor dan negeri-negeri lain seperti di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu, Pahang dan Johor kerana Negara berada pada fasa Monsun Timur Laut ketika
Di Selangor, keadaan jerebu mula dikesan pada 3 Mac 2014 dan bertambah ketara pada sekitar 9 Mac hingga 14 Mac 2014 di mana stesen pengawasan kualiti udara automatik yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar di Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam telah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 pada tahap tidak sihat selama di antara 1 jam hingga 24 jam.
Sementara itu dua kawasan iaitu Pelabuhan Klang dan Banting mengalami masalah jerebu yang teruk pada 13 Mac dan 14 Mac 2014 apabila merekodkan bacaan IPU melebihi 300 pada tahap berbahaya, walau bagaimanapun tidak berlaku dalam tempoh masa yang lama iaitu selama 3 jam pada 13 Mac dan 12 jam pada 14 Mac 2014.
Pada umumnya, episod jerebu di dalam tempoh Januari hingga Mac 2014 masih di dalam keadaan terkawal dan beberapa siri hujan yang turun pada pertengahan Mac lalu selain tindakan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar secara konsisten dan usaha pemadaman kebakaran hutan dan belukar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan bantuan agensi lain, serta operasi pembenihan awan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia telah membantu mengurangkan masalah jerebu.
Pada keseluruhannya status kualiti udara di Negeri Selangor berada pada tahap baik dan sederhana pada kebanyakan masa.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan keadaan jerebu yang berlaku ?
Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi keadaan jerebu ini adalah seperti berikut:
- Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka;
- Jabatan Alam Sekitar menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. Program pemantauan ini turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan pihak swasta untuk membuat pengesanan awal bagi mengelakkan kebakaran dari merebak;
- Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan khas bagi mencegah pembakaran terbuka di Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;
- Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “check dam” dan pembinaan telaga air tanah (tube well) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
- Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes- kes kebakaran yang luas melibatkan kawasan hutan dan tanah gambut;
- Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
- Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan kapalterbang Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
- Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka;
- Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka; dan
- Jabatan Alam Sekitar juga akan mengambil tindakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan seperti meningkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan ekzos kenderaan bermotor, pelepasan pencemaran udara daripada industri dan kawalan pencemaran habuk dari aktiviti kerja tanah.