Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

27) JEREBU

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan lokasi yang dipasangkan alat pengesan jerebu dalam Negeri Selangor dan apakah kriteria alat-alat pengesan tersebut ditempatkan di lokasi berkenaan?

    Terdapat 5 buah stesen pengawasan kualiti udara automatik di Negeri Selangor yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar iaitu terletak di Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam.

    Stesen pengawasan kualiti udara ini mencerap kepekatan 5 pencemar udara iaitu parameter Sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Karbon Monoksida (CO), Habuk halus berdiameter < 10 mikrometer (PM10) dan Ozon di permukaan bumi (O3) bagi membuat kiraan nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang disiarkan pada setiap jam di laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar, www.doe.gov.my.

    Penempatan 5 buah stesen pengawasan kualiti udara automatik ini adalah berdasarkan lokasi yang stategik di kawasan perumahan, industri dan kawasan komersial bagi memantau sebarang perubahan ketara kepada status kualiti udara yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

  2. Adakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang menambahkan bilangan alat pengesan jerebu dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi keadaan jerebu yang berulang setiap tahun dan bertambah serius?

    Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menambahkan bilangan stesen pengawasan kualiti udara automatik di Negeri Selangor.

    Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi keadaan jerebu ini adalah seperti berikut:

    • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka;
    • Jabatan Alam Sekitar menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan Program pemantauan ini turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan pihak swasta untuk membuat pengesanan awal bagi mengelakkan kebakaran dari merebak;
    • Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan khas bagi mencegah pembakaran terbuka di Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;
    • Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “check dam” dan pembinaan telaga air tanah (tube well) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
    • Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang luas melibatkan kawasan hutan dan tanah gambut;
    • Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
    • Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan kapalterbang Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
    • Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah- tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka;
    • Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka; dan
    • Jabatan Alam Sekitar juga akan mengambil tindakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan seperti meningkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan ekzos kenderaan bermotor, pelepasan pencemaran udara daripada industri dan kawalan pencemaran habuk dari aktiviti kerja tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.