Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
220) JEREBU
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pesakit yang direkodkan di Selangor akibat jerebu pada tahun 2015?
Penyakit berkaitan jerebu yang dipantau oleh Jabatan Kesihatan pada masa ini ialah asma (asthma), sakit mata (conjunctivitis) dan jangkitan salur pernafasan atas (upper respiratory tract infection).
Hasil daripada pemantauan yang dijalankan semasa kejadian jerebu mendapati sebanyak 17,736 kes penyakit berkaitan jerebu dicatatkan seperti jadual berikut:
JENIS PENYAKIT BILANGAN (≤12 TAHUN) BILANGAN (13-59 TAHUN)
BILANGAN (≥60 TAHUN) JUMLAH
ASMA 634 777 341 1752 SAKIT MATA 260 349 206 815 JANGKITAN SALUR PERNAFASAN ATAS
3442
8332
3395
15,169
JUMLAH 4336 9458 3942 17,736 -
pakah langkah dan tindakan kerajaan negeri dalam menghadapi jerebu pada masa akan datang dalam memastikan kesihatan rakyat terjamin?
Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius mengenai jerebu yang melanda Negara kita antara langkah dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor dalam menghadapi jerebu adalah dengan menjalankan tindakan pemantauan secara sistematik di kawasan hutan dan sekitarnya yang dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Negeri
Bagi kes kebakaran hutan yang berskala besar, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Negeri Selangor akan digerakkan untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu.
Kerajaan Negeri Selangor juga telah membuat perolehan set peralatan pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut yang dikenali sebagai PeatFire-X. Set peralatan ini sering digerakkan untuk membantu pemadaman kebakaran tanah gambut di kawasan hutan di Negeri Selangor.
Seterusnya, bagi penyelesaian jangka panjang, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mengawal kebakaran hutan yang akan mengakibatkan jerebu di kawasan setempat adalah meningkatkan paras air tanah dan saliran yang sedia ada di kawasan hutan paya gambut dan sekitarnya yang kritikal di Negeri Selangor.
Pembinaan infrastruktur seperti check dam, tube well, kolam takungan, menara tinjau dan saluran paip air telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di bawah Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Yang Sering Terbakar oleh Jabatan Alam Sekitar secara berperingkat sejak tahun 2009 sehingga kini.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah dan Jabatan Perhutanan ke atas pihak-pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka.
Melalui tindakan-tindakan yang dinyatakan di atas, ianya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sangat serius di dalam usaha menangani pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu di Negeri Selangor. Diharapkan, melalui usaha-usaha tersebut juga dapat membantu memelihara kesihatan rakyat Negeri Selangor daripada kesan jerebu.