Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

212) JENAYAH DAN KESELAMATAN AWAM

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk meneruskan usaha untuk menubuhkan unit polis bantuan?

    Kerajaan Negeri belum bercadang untuk meneruskan usaha menubuhkan unit polis bantuan memandangkan permohonan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan polis bantuan ditolak oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri melalui PBT di Selangor sering mengadakan kerjasama bersama PDRM dalam memastikan keselamatan awam terpelihara.

  2. Apakah langkah kerajaan negeri ke arah pemutihan komuniti berpagar yang menutup beberapa jalan untuk tujuan keselamatan?

    Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 2/2011 yang bersidang pada 19 Julai 2011 telah membuat keputusan supaya semua PBT di Negeri Selangor menggunakai Garis Panduan Konsep Skim Komuniti Berpagar (‘Gated Community’) dan Skim Perumahan Berpengawal (‘Guarded Community’) yang disediakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

    Walaupun secara dasarnya garis panduan ini telah menetapkan bilangan persetujuan penduduk seramai 75%, namun pelaksanaannya yang “mendirikan (sebarang bentuk) halangan kepada jalan-jalan awam” masih lagi bertentangan dari aspek perundangan berdasarkan Seksyen 136(2) dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Seksyen 80, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 26 Jadual G, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.

    Dalam hal ini, garis panduan yang disediakan oleh LPHS  mengambil kira semua pertimbangan tersebut termasuk pertimbangan pelanggaran perundangan sedia ada di tahap yang minimum sebagai panduan kepada PBT di Negeri Selangor dalam meluluskan Skim Pembangunan “Guarded Community” mahupun Skim Pembangunan “Gated Community”.

    Oleh yang demikian, sebarang ketidakpatuhan terhadap Garis Panduan yang telah disediakan ini, PBT berhak untuk mengambil sebarang langkah penguatkuasaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri berpandangan, kaedah rundingan antara persatuan penduduk yang bersetuju dan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini bersama-sama PBT merupakan kaedah yang terbaik dalam menyelesaikan permasalahan ini yang mana akhirnya satu keputusan menang-menang tanpa mengkompromi aspek keselamatan dapat dihasilkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.