Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

221) JELAPANG PADI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan jumlah pengeluaran hasil padi?

    Antara usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan pengeluaran hasil padi seterusnya mempertingkatkan pendapatan dan sosioekonomi golongan pesawah padi di seluruh negara seperti berikut:

    • meningkatkan harga belian padi pada kadar RM1,200 per tan metrik mulai tahun 2014 bagi menggalakkan penghasilan padi yang tinggi sekaligus meningkatkan pendapatan dalam kalangan pesawah;
    • penggunaan benih padi sah yang berkualiti di mana sebanyak RM75 juta diperuntukkan pada setiap tahun bagi memastikan benih padi berkualiti dibekalkan kepada pesawah yang boleh meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah;
    • meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam aktiviti penanaman dan penuaian padi dengan memanfaatkan peruntukan di bawah program mekanisasi dan automasi Kementerian sebanyak RM150 juta dalam peruntukan RMKe11;
    • pengukuhan infrastruktur pengairan dan saliran bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di mana sebanyak RM1.395 billion diperuntukkan di bawah RMKe11 untuk meningkatkan produktiviti padi;
    • meningkatkan kecekapan bantuan input bagi memastikan peningkatan produktiviti tanaman padi dengan melaksanakan program pemulihan tanah, penggunaan mikrob dan bahan organik, pencirian tanah (soil profiling) bertujuan mengenalpasti tahap kesuburan tanah dan kesesuaian bantuan baja;
    • membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus pengurusan lepas tuai bagi membantu pengurangan kehilangan lepas tuai yang seterusnya boleh meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan petani;
    • melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan bagi menghasilkan varieti baru yang dapat meningkatkan hasil dan rintang (tahan) kepada penyakit. Antara yang telah berjaya dilakukan adalah pengenalan varieti benih baru seperti MARDI Siraj 297, MR303, MR 307, UKM RC-2 dan UKM RC-8.
    • memperkasakan aktiviti pengembangan melalui penubuhan Farmer Field School (FFS) di bawah Jabatan Pertanian bagi meningkatkan kemahiran pesawah dalam aspek penanaman padi; dan
    • Memberikan tumpuan kepada dua belas (12) kawasan jelapang padi negara termasuklah IADA Barat Laut Selangor dengan menaiktaraf infrastruktur dan pengurusan tanaman padi yang lebih cekap.

    Selain daripada itu, Kerajaan juga menggalakkan pesawah untuk melaksanakan penanaman bercampur (mixed cropping) dengan tanaman-tanaman lain yang bersesuaian bagi mempelbagaikan pendapatan pesawah.

  2. Apakah penyelesaian dan pelan Kerajaan bagi mengurangkan masalah penyakit padi?

    Antara pelan dan tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan adalah dengan memperkenalkan varieti padi yang rintang kepada penyakit serta menjalankan kempen pemuliharaan kawalan semula jadi, kawalan menggunakan agen biologi dan amalan kultura yang baik.

    Amalan agronomi juga dititikberatkan dan menggalakkan petani mematuhi jadual aktiviti tanaman padi berdasarkan Manual Rice Check yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian. Kesemua kaedah ini mestilah diamalkan secara bersepadu bukan setakat di peringkat individu malah di peringkat komuniti pesawah di sesebuah kawasan itu dengan kerjasama daripada agensi pengembangan dan institusi penyelidikan.

    Bagi penyakit yang telah berlaku secara meluas di kawasan IADA Barat Laut Selangor baru-baru ini, antara langkah-langkah yang telah diambil adalah:

     

    • Satu Jawatankuasa Teknikal BPB telah ditubuhkan bagi memantau dan menyelaras tindakan-tindakan yang diambil bagi mengawal serangan BPB di Semenanjung Malaysia. Selain itu, Jawatankuasa Task Force BPB juga telah ditubuh dan dipertanggungjawabkan sebagai pusat pengumpulan maklumat, penyediaan prosedur, kaedah dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk dilaksanakan di peringkat negeri;
    • Kementerian telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembendungan, Penghapusan dan Kawalan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) sebagai panduan dalam menguruskan serangan BPB. Jabatan dan Agensi yang berkaitan di bawah Kementerian telah dibekalkan dengan risalah berkaitan perkara ini sebagai panduan penerangan kepada petani dan juga kepada pihak yang berkenaan;

    iii.  Bilik gerakan di setiap Negeri telah diaktifkan bagi memudahkan operasi penyelarasan, pengawalan, pengumpulan dan penyampaian maklumat serangan BPB. Pelbagai aktiviti latihan dan penerangan kepada stakeholders turut dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri melalui kempen, taklimat dan kursus;

    • Petani di kawasan terlibat telah diberikan Notis Kuarantin di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan dikehendaki memusnahkan sumber penyakit (padi batat, tunggul padi, jerami, rumpai) dalam kawasan serangan selepas penuaian hasil. Kaedah pemusnahan adalah dengan memotong rapat batang padi dan dibakar dengan sempurna dan terkawal mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar. Padi dari kawasan serangan BPB hanya dibenarkan dituai untuk menjadi padi beras dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber benih padi;
    • Petani-petani juga telah dinasihatkan untuk mendapatkan benih padi sah daripada pengeluar-pengeluar yang telah dilantik oleh pihak Kementerian supaya benih padi yang digunakan adalah bebas daripada perosak dan penyakit. Kempen penggunaan benih padi sah, pengurusan perosak bersepadu, amalan pertanian baik, bancian perosak tanaman padi dan aktiviti-aktiviti pengembangan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa;
    • Kementerian juga kini sedang menggubal Rang Undang-undang Kualiti Benih Tanaman sebagai punca kuasa dalam memastikan pengeluaran dan penjualan benih-benih tanaman di pasaran adalah berkualiti dan mencapai standard yang ditetapkan; dan

    vii. Kajian dan penyelidikan ke atas penghasilan varieti padi yang rintang penyakit sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan varieti padi yang dihasilkan mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan perosak dan perubahan alam sekitar serta memberikan hasil yang tinggi.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.