Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
131) JELAJAH SELANGOR PENYAYANG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan keberkesanan Jelajah Selangor Penyayang yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor.
Jelajah Selangor Penyayang merupakan suatu program Kerajaan Negeri Selangor yang dianjurkan sebagai platform one-stop-centre untuk hebahan serta permohonan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri yang disediakan kepada Rakyat Selangor melalui program-program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) serta program-program dan inisiatif-inisiatif lain yang khusus dalam memberdayakan taraf kehidupan rakyat di samping menjaga kebajikan pelbagai golongan rakyat Selangor. Melalui Jelajah Selangor Penyayang, program ISP serta inisiatif Kerajaan Negeri yang lain dapat disampaikan dan dihebahkan kepada segenap daerah dalam Negeri Selangor, dan rakyat boleh juga terus membuat permohonan sekiranya mereka berkelayakan dan memenuhi kriteria sebagai penerima program atau inisiatif tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Jelajah Selangor Penyayang (JSP) melibatkan lima (5) daerah, bermula di daerah Hulu Langat pada 19 Jun 2022, seterusnya di daerah Kuala Langat pada 26 Jun 2022 dan di daerah Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Yang terbaharu adalah pada 24 Julai 2022 yang lepas di daerah Petaling dan Jelajah Selangor Penyayang yang terakhir adalah di daerah Gombak yang dijadualkan pada 31 Julai 2022. Di setiap daerah ini diketengahkan tema yang khusus iaitu di daerah Hulu Langat dengan tema Kehidupan Bermartabat, seterusnya di daerah Kuala Langat dengan tema Memperkasa Ekonomi Manusiawi, kemudian di daerah Kuala Selangor dengan tema Kesihatan Berkualiti, Rakyat Terbela. Seterusnya di daerah Petaling membawa tema Kasih Keluarga, Negeri Penyayang dan JSP yang dijadualkan di daerah Gombak kelak akan memfokuskan kepada tema Pendidikan Holistik, Generasi Muda Dinamik.
Jelajah Selangor Penyayang mendekati rakyat dengan tarikan konsep karnival mengikut tema di setiap daerah di mana selain daripada pameran-pameran yang menghebahkan program dan inisiatif daripada Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri, diadakan juga aktiviti-aktiviti bersama rakyat serta jualan-jualan daripada penjaja dan peniaga Negeri Selangor. Pelbagai perkongsian berkenaan program-program ISP disediakan di Jelajah Selangor Penyayang termasuk membuka ruang kepada rakyat untuk memohon ataupun mendaftar bagi program-program tersebut.
Sebanyak 10 reruai (booth) dibuka khas untuk Program ISP iaitu antaranya program-program Kluster Iltizam Selangor Sihat oleh Selcare Management Sdn. Bhd, program-program Kluster Iltizam Mesra Anak Selangor di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), inisiatif di bawah kluster Iltizam Perumahan Selangor oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), program Roda Darul Ehsan (RIDE) oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan program Skim Air Darul Ehsan oleh Air Selangor. Selain program-program di bawah ISP, terdapat juga 10 booth daripada pihak MBI yang memperkenalkan insiatif dan insentif seperti Rumah Idaman Selangor, PLATS, Hijrah Selangor, Wanita Berdaya Selangor dan WIFI Selangor.
Demi memanfaatkan lagi pengunjung yang hadir, lebih daripada 30 booth dan kaunter perkhidmatan bergerak daripada agensi-agensi kerajaan yang lain disediakan seperti Pusat Khidmat Masyarakat, Pusat Wanita Berdaya, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Selangor FC, Team Selangor, Tourism Selangor dan Lembaga Zakat Selangor. Tidak ketinggalan daripada agensi persekutuan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM, JPJ dan JPN. Dan yang menjadi tarikan utama juga, di setiap JSP menawarkan program saringan kesihatan yang dikenali sebagai Program Saring Selangor bagi mengesan awal penyakit kronik secara percuma.
Sepanjang tiga (3) Jelajah Selangor Penyayang yang telah berlangsung dalam bulan Jun, telah direkod seramai anggaran 26,000 pengunjung yang telah hadir dan memeriahkan Jelajah ini. JSP Daerah Hulu Langat telah berjaya menarik pengunjung dengan anggaran seramai 10,000 orang manakala di JSP Daerah Kuala Langat dan di JSP Daerah Kuala Selangor masing-masing telah mencatat anggaran 8,000 pengunjung.
-
Nyatakan kos perbelanjaan bagi setiap tempat Jelajah Selangor Penyayang?
Kos yang terlibat bagi penganjuran dan pelaksanaan tiga (3) Jelajah Selangor Penyayang berjumlah RM1,088,310.00. Pecahan mengikut JSP adalah seperti berikut:
- JSP Daerah Hulu Langat: RM319,310.00
- JSP Daerah Kuala Langat: RM389,000.00
- JSP Daerah Kuala Selangor: RM380,000.00
Dengan melihat kepada anggaran kehadiran pengunjung serta manfaat yang bakal rakyat Selangor nikmati melalui program dan inisiatif yang dihebahkan dan ditawarkan melalui Jelajah ini, kos terlibat adalah munasabah dan memberi nilai yang terbaik (value for money).