Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
271) JAWATANKUASA TETAP ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan 3 agenda keutamaan atau projek terkini Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIM SELANGOR).
Kerajaan Negeri telah mengumumkan penjenamaan semula Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Selangor bagi mengurus dan mendepani segala kemungkinan termasuk bencana akibat perubahan iklim. Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 13/2022 bertarikh 18 Mei 2022 telah meluluskan penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau IKLIMSELANGOR bagi menyelaras dan membantu Kerajaan Negeri merancang, memantau dan memberikan saranan terhadap isu dan program alam sekitar dan perubahan iklim di negeri Selangor.
Peranan utama Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR adalah untuk mengenal pasti isu dan punca berkaitan alam sekitar dan mencadangkan langkah penyelesaian kepada Kerajaan Negeri. Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor Bil. 1 telah diadakan pada 21 Julai 2022 bagi membincangkan hala tuju dan agenda dalam menangani isu-isu perubahan iklim yang sedang dialami seluruh negara, khususnya di negeri Selangor. Majlis ini terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang perancang bandar, alam sekitar dan perubahan iklim termasuk ahli-ahli akademik yang berperanan sebagai badan pemikir Kerajaan Negeri bagi mengemukakan dasar/polisi serta program/projek berkaitan perubahan iklim selari dengan dasar semasa Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.
Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR telah menggariskan agenda utama seperti berikut:
- Merangka perancangan dasar dan strategi yang holistik di peringkat negeri yang merangkumi pelbagai sektor serta langkah-langkah mitigasi dan adaptasi dalam menangani isu perubahan iklim;
- Memperkukuh dan mempertingkatkan keupayaan institusi dan pelaksana melalui penyelarasan tindakan-tindakan dasar yang bersepadu bagi membawa agenda kelestarian alam sekitar; dan
- Menerajui perkara berkaitan halatuju alam sekitar dan perubahan iklim, penyelarasan dan pelaksanaan rancangan pembangunan negeri, program/inisiatif yang meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman awam.
-
Apakah usaha kolaborasi antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Negeri-Negeri lain dan Kerajaan Persekutuan dalam isu perubahan iklim dan pemanasan global?
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan dasar/polisi alam sekitar dan perubahan iklim di peringkat negeri hendaklah selari dengan dasar/polisi Kerajaan Persekutuan terutamanya melalui jalinan kerjasama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar, perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui dan biodiversiti. Antara dasar nasional sedia ada yang berkaitan adalah:
- Dasar Perubahan Iklim Negara;
- Dasar Teknologi Hijau Negara;
- Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030;
- Kerangka Pelan Adaptasi Kebangsaan (Malaysia’s National Adaptation Plan – MyNAP)
- Green Technology Master Plan 2017-2030.
Penglibatan Kerajaan Negeri Selangor boleh dilihat melalui penyertaan dalam mesyuarat/jawatankuasa utama di peringkat nasional seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar atau MEXCOE dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC). Melalui platform ini, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan diterjemahkan dalam sesi perbincangan dan persetujuan bagi memastikan agenda kelestarian negara dapat dicapai.
Bentuk kerjasama juga boleh diterjemahkan melalui pemeteraian memorandum persefahaman di antara negeri-negeri yang bersempadanan dengan negeri Selangor sebagai tanda hubungan yang harmoni secara berterusan bagi menyelesaikan setiap isu demi kepentingan bersama.
Agenda pertumbuhan hijau, konservasi dan pemuliharaan sumber asli negara akan terus menjadi keutamaan dalam pembangunan negara dalam tempoh lima (5) tahun akan datang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Bagi menyokong hasrat ini, Kerajaan Negeri sedang mempertingkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana melalui pembangunan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030. Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), negeri-negeri dan Jabatan/Agensi Persekutuan yang lain bagi mewujudkan satu dasar yang inklusif serta selari dengan dasar dan aspirasi negara dalam mencapai komitmen negara diperingkat antarabangsa.