Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
215) JAWATANKUASA TETAP ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah ditubuhkan, apakah beberapa agenda utama yang akan difokuskan oleh Jawatankuasa untuk tempoh jangka terdekat ini?
Seperti mana kita sedia maklum, perubahan iklim adalah satu isu kompleks yang merentasi pelbagai bidang dan sektor seperti tenaga, pertanian, pengangkutan, industri, perhutanan, kesihatan awam, sumber air, pemuliharaan biodiversiti dan lain-lain lagi. Ianya kini hangat diperkatakan bukan sahaja di Malaysia, malah turut dibincangkan diperingkat global. Perubahan iklim kini dirasai di setiap negara dan benua, antaranya keadaan cuaca berubah-ubah secara ekstrem, kenaikan paras air laut serta berlaku bencana alam. Semua ini bukti jelas yang semakin membimbangkan. Oleh itu, ianya perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan pelepasan gas rumah kaca (GHG).
Susulan daripada itu, bagi memastikan Kerajaan Negeri komited dalam menangani isu perubahan iklim, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Selangor telah diwujudkan dan berperanan dalam menyelaras dan melaksanakan program, projek serta agenda alam sekitar dengan menekankan aspek perubahan iklim dan teknologi hijau dalam setiap agenda pembangunan negeri.
Agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negeri Selangor seperti mana yang telah dinyatakan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1). Bagi mengelakkan bencana banjir besar daripada berulang, Kerajaan Negeri telah memulakan pembangunan pelan tindakan dan mitigasi yang bersifat proaktif, strategik untuk jangka masa pendek dan panjang melalui Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030. Dasar ini akan bertindak sebagai satu dokumen penting bagi menggembleng keupayaan dan langkah mitigasi serta adaptasi sebagai persediaan dalam membangunkan negeri yang berteraskan kepada elemen alam sekitar dan perubahan iklim.
Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Peralihan kepada pendekatan yang lebih lestari diperlukan pada setiap masa dalam membuat keputusan bagi meningkatkan keutamaan alam sekitar yang lestari dan berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG). Oleh itu, pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi menyelaras usaha adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana merentasi pelbagai tempoh memandangkan hampir kesemua insiden bencana yang berlaku pada tahap negeri, bandar, daerah dan mukim adalah berkaitan dengan pengaruh iklim.
Kerajaan Negeri kini menfokuskan agenda untuk menjadikan Selangor negeri rendah karbon dengan menggalakkan masyarakat, komuniti perniagaan dan pihak industri menggunakan produk teknologi hijau dan pendekatan pengurangan pelepasan karbon untuk mengelakkan kesan ke atas perubahan iklim melalui penggunaan sumber yang efisien dan pengurangkan pembaziran. Justeru itu, penumpuan hala tuju kepada tiga (3) program utama yang selari dengan dasar semasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) iaitu, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency-EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy-RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal yang efisien. Adalah dijangkakan menjelang tahun 2030, lebih banyak tenaga akan dijana daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui (RE) seperti biojisim, mini hidro, tenaga solar dan biogas.
Oleh itu, adalah penting untuk Negeri Selangor terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim ini. Ingin ditekankan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau kini merupakan keutamaan negeri di bawah pentadbiran kerajaan pada masa sekarang. Segala usaha ini adalah selari dengan komitmen Negeri Selangor dalam misi menjadi bandar maju, boleh didiami, mampan, berdaya huni dan berdaya tahan untuk semua.