Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

222) JAWATANKUASA TETAP ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status dan agenda terkini Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Selangor.

    Umum mengetahui bahawa isu pemanasan global telah memberi kesan kepada perubahan iklim dunia dan impaknya telah menyebabkan tragedi besar dan bencana yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia dengan yang terkini kejadian banjir-banjir besar di (8) lapan negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kelantan dan Terengganu. Keadaan cuaca tidak menentu yang menyaksikan kawasan tidak pernah dilanda bencana banjir mengalami banjir besar adalah antara kesan daripada pemanasan global yang membawa perubahan atau gangguan terhadap kitaran iklim, habitat dan ekosistem.

    Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan penjenamaan semula penubuhan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Selangor bagi menyelaras dan melaksanakan program/projek serta agenda alam sekitar dengan menekankan aspek perubahan iklim dalam setiap agenda negeri. Seterusnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 13/2022 bertarikh 18 Mei 2022 telah meluluskan secara dasar penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau IKLIMSELANGOR yang dianggotai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), pakar-pakar akademik dan teknikal, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta penglibatan daripada ahli-ahli Yang Berhormat.

    Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis IKLIMSELANGOR mempunyai peranan dalam memberi cadangan dan penyelesaian kepada isu perubahan iklim yang sedang berlaku melalui kepada aspek-aspek berikut:

    • Membangunkan dasar perubahan iklim dan langkah mitigasi yang menyokong agenda ke arah menangani perubahan iklim;
    • Persekitaran yang menyokong pembangunan kental iklim dengan meningkatkan tadbir urus untuk memperkukuhkan perancangan, penguatkuasaan, pemantauan dan penilaian;
    • Mekanisma kewangan yang mampan;
    • Penyelidikan dan pembangunan (R&D);
    • Program-program kesedaran bagi tanggungjawab bersama; dan
    • Langkah-langkah adaptasi dalam mengurangkan risiko, melindungi hasil pembangunan dan seterusnya menjamin keperluan utama iaitu air, tenaga dan makanan.
  2. Siapakah pemegang taruh yang telah terlibat dalam perancangan Jawatankuasa ini dalam menangani perubahan iklim setakat Jun 2022?

    Pemegang taruh yang terlibat dalam merancang Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    • YAB Dato’ Menteri Besar Selangor;
    • Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim;
    • Pejabat Daerah/ Tanah Negeri Selangor;
    • Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor;
    • Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor;
    • Jabatan Perhutanan Negeri Selangor;
    • Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor;
    • Jabatan Kesihatan Negeri Selangor;
    • Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor;
    • Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor;
    • Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor;
    • Lembaga Urus Air Selangor;
    • Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Negeri Selangor (PERHILITAN); dan
    • Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.