Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
81) JAWATAN YDP YANG DIKOSONGKAN
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan akan mengisi kekosongan jawatan YDP di beberapa PBT dan terangkan prosedur pelantikannya secara terperinci dan apakah hak yang ada pada kerajaan negeri?
- Pentadbiran Kerajaan Negeri mengambil maklum berhubung kekosongan jawatan Yang Dipertua di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Kekosongan jawatan ini berlaku susulan urusan kenaikan pangkat penyandang sedia ada dan tempoh peminjaman yang telah berakhir pada bulan Februari 2011 lalu. Buat masa ini, tugas- tugas dan tanggungjawab Yang Dipertua di dua (2) PBT berkenaan digalas oleh Timbalan Yang Dipertua atau Setiausaha Majlis sehingga jawatan berkenaan diisi sepenuhnya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Pentadbiran Kerajaan Negeri selaku Pihak Berkuasa Negeri telah mengenal pasti beberapa calon yang berkelayakan dan kompeten untuk mengisi jawatan penting berkenaan dalam tempoh terdekat ini. Senarai nama pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri telah dikemukakan ke Pejabat Menteri Besar dan seterusnya pertimbangan serta persetujuan YAB Dato’ Menteri Besar akan dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi urusan penempatan selanjutnya.
Dalam konteks prosedur urusan pelantikan Datuk Bandar / Yang Dipertua PBT, penempatan pegawai dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 iaitu ‘Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Peminjaman, Pertukaran Sementara dan Pertukaran Tetap’. ‘Peminjaman’ merupakan kaedah pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat dan boleh digunakan oleh sesebuah Jabatan / Agensi untuk mendapatkan perkhidmatan pegawai yang berpengalaman, berkemahiran, berwibawa dan bersesuaian dengan keperluan Jabatan / Agensi berkenaan.
Bagi memastikan pemilihan calon pegawai kanan ini dijalankan dengan lebih lancar dan telus, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Panel Jawatankuasa Khas Pemilihan Ketua Jabatan terutamanya jawatan Datuk Bandar / Yang Dipertua. Panel Jawatankuasa Khas ini dianggotai oleh:
- YBhg Dato’ Dr Teng Chang Khim Speaker Dewan Negeri Selangor
- YBhg Dato’ Dr Hasan bin Mohd Ali
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor
- YB Tuan Dr Xavier Jayakumar
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor
Panel Jawatankuasa Khas ini berperanan menemubual calon-calon pegawai yang dikenal pasti dan seterusnya mengesyorkan pilihan calon yang disenarai pendek kepada YAB Dato’ Menteri Besar bagi pertimbangan serta persetujuan lanjut. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan calon yang berkelayakan dan mengesyorkan perihal ini kepada JPA untuk urusan penempatan.