Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

297) JANGKITAN RESPIRATORY SYNCYTIAL VIRUS (RSV)

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah penyakit RSV ini menjangkiti kanak-kanak juga warga emas di Selangor? Berikan bilangan.

    Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV) adalah merupakan satu daripada pelbagai jenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Jangkitan ini bersama-sama jangkitan yang disebabkan oleh beberapa jenis virus saluran pernafasan yang lain (seperti virus Influenza A atau B, Human Parainfluenza dan Rhinovirus) akan dikategorikan sebagai Influenza-Like-Illness (ILI). Ini adalah disebabkan oleh gejala yang dialami pesakit bagi jangkitan virus-virus ini adalah sama seperti jangkitan disebabkan virus Influenza, iaitu demam tinggi, batuk, sakit tekak, sakit kepala dan badan serta berisiko sesak nafas bagi jangkitan yang teruk.

     

    Namun begitu, jangkitan-jangkitan dalam kumpulan ILI ini sangat jarang menyebabkan situasi jangkitan teruk melainkan kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak yang mempunyai penyakit asma, penyakit berkaitan imuniti, serta golongan dewasa yang mempunyai masalah komorbiti seperti kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal.

     

    Di peringkat JKN Selangor, jangkitan RSV dipantau melalui pemantauan ILI secara keseluruhannya. Ini kerana, kaedah kawalan dan pencegahan bagi kumpulan jangkitan di bawah ILI adalah sama (melainkan terdapat pilihan vaksin tahunan bagi jangkitan Influenza).

     

    Proses pengenalpastian jenis virus bagi jangkitan ILI tetap dijalankan, namun adalah melalui kaedah survelan makmal di beberapa klinik kerajaan yang terpilih. Bagi tahun 2022, tiada jangkitan RSV dikesan di melalui kaedah pemantauan ini.

  2. Adakah usaha sebaran maklumat khasnya kepada ibubapa juga tindakan yang diambil bagi mengekang penyakit ini?

    Ya, sebaran maklumat bagi tindakan kawalan dan pencegahan bagi jangkitan ILI termasuk RSV dijalankan di pelbagai peringkat oleh pihak JKN Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Selangor. Antara usaha yang dijalankan adalah:

     

    1. Pengedaran risalah (fizikal dan digital) di platfom media sosial.
    2. Mengadakan ceramah-ceramah umum berkenaan amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan di taska, rumah dan institusi-institusi pendidikan.
    3. Peringatan berkala mengenai amalan pematuhan SOP, di mana kaedah umum kawalan dan pencegahan jangkitan saluran pernafasan adalah sama sebagaimana yang diamalkan bagi jangkitan COVID-19.
    4. Hebahan melalui sosial media.

Lampiran

Tiada Lampiran.