Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
133) JAMINAN BEKALAN MAKANAN (FOOD SECURITY)
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah keluasan tanah milik Kerajaan Negeri yang telah dibuka untuk kawasan pertanian di bawah PKPS dan nyatakan lokasinya mengikut daerah?
Jumlah keluasan tanah milik Kerajaan Negeri yang telah dibuka untuk kawasan pertanian di bawah PKPS adalah 875.57 hektar. (Rujuk Jadual di Lampiran 1 untuk ringkasan maklumat ini)
– Daerah Gombak mencatat keluasan tanah terbesar iaitu sebanyak 341.96 hektar bersamaan 39% dari jumlah keseluruhan kawasan. Jumlah ini termasuk kawasan Selangor Fruit Valley seluas 318.42 hektar.
– Daerah Hulu Selangor mencatat keluasan kedua tertinggi iaitu 290.20 hektar bersamaan 33% dari jumlah keseluruhan kawasan.
– Daerah Hulu Langat mencatat keluasan 92.73 hektar (11%).
– Daerah Kuala Selangor yang merangkumi kawasan seluas 58.69 hektar (7%).
– Lain-lain daerah yang terlibat adalah Sabak Bernam dan Sepang, masing-masing dengan kawasan pertanian seluas 47.47 hektar (5%) dan 44.52 (5%).
-
Apakah jenis aktiviti pertanian yang sedang dijalankan mengikut keluasan tanah?
Jenis aktiviti kawasan pertanian yang sedang dijalankan mengikut keluasan tanah tersebut adalah terbahagi kepada 3 aktiviti utama iaitu penanaman, perikanan dan penternakan. (Rujuk Jadual di Lampiran 2 untuk ringkasan maklumat ini).
– Aktiviti penanaman merupakan aktiviti pertanian utama dengan keluasan kawasan sebanyak 686.10 hektar (79%) diikuti dengan aktiviti perikanan seluas 116.11 hektar (13%) dan aktiviti penternakan seluas 73.36 hektar (8%).
– Penanaman buah-buahan merupakan aktiviti utama dengan melibatkan keluasan tanah sebanyak 419.67 hektar (48%) diikuti dengan tanaman sayur-sayuran 195.63 hektar (23%) dan tanaman herba iaitu seluas 70.80 hektar (8%).
– Jenis tanaman buah-buahan utama yang terlibat adalah kelapa pandan, nangka, jambu batu, rambutan dan pulasan manakala sayur-sayuran adalah tanaman sawi, kacang panjang dan bendi.
– Penternakan ikan menjadi aktiviti pertanian kedua terbesar dengan keluasan sebanyak 116.11 hektar (13%) melibatkan ternakan ikan tilapia, ikan keli dan lain-lain.
– Aktiviti pertanian ketiga adalah aktiviti penternakan dengan kawasan seluas 73.36 hektar melibatkan aktiviti ternakan lembu tenusu dengan keluasan 43.00 hektar (5%) dan ternakan ayam daging seluas 18.22 hektar (2%) manakala aktiviti ternakan larvae (Black Soldier Fly) melibatkan kawasan seluas 12.14 hektar (1%).