Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

187) JAMBATAN PENGHUBUNG SUNGAI AIR TAWAR – HUTAN MELINTANG

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah kos kajian kebolehlaksanaan untuk projek Pembinaan Jambatan Penghubung Sungai Air tawar - Hutan melintang yang diumumkan oleh Exco Infrastuktur?

    Cadangan projek ini adalah projek Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB. Anggaran Kos Keseluruhan bagi Projek Membina Jalan dan Jambatan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam ke Hutan Melintang, Perak adalah berjumlah RM 222 juta.

  2. Apakah cadangan kerajaan negeri dalam memberi peluang ekonomi kepada masyarakat setempat yang hampir dengan projek jambatan ini?

    Jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar, Selangor ke Hutan Melintang, Perak yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025. Jambatan merentasi Sungai Bernam sepanjang dua kilometer itu mampu memendekkan tempoh perjalanan sejauh 40 kilometer bagi penduduk sekitar kawasan berhampiran. Peningkatan prasarana sokongan seperti pembinaan jambatan baru ini yang bernilai RM200 juta akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di Daerah Sabak Bernam.

     

    Daerah Sabak Bernam merupakan hub pengeluaran makanan utama di negeri Selangor.  Bagi memastikan sektor pertanian dan pengeluaran makanan di negeri Selangor dapat ditingkatkan, maka beberapa inisiatif baru akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di daerah Sabak Bernam secara lebih holistik dan terancang. Antara inisiatif penting yang dikenalpasti adalah pembangunan industri hiliran. Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan di Sungai Lang, Sabak Bernam dengan kawasan seluas 180 hektar (450 ekar) melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta. Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan ini akan menempatkan kemudahan jeti pelabuhan bersaiz sederhana, kilang pemerosesan hasil laut dan Agro Makanan, kemudahan simpanan sejuk beku, terminal pengangkutan, dan pelbagai lagi kemudahan lain. Pelan pembangunan ini dijangka akan menjadi pencetus kepada limpahan ekonomi yang lebih besar kepada daerah Sabak Bernam. Di samping itu, beberapa kemudahan lain bagi membantu perkembangan industri hiliran di Sabak Bernam ialah pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekendi bernilai RM15 juta dan pembinaan Kilang Minyak Sawit bernilai RM60 juta di Jelutong Jati, semuanya di Daerah Sabak Bernam.

     

    Sabak Bernam juga bakal menjadi hub logistik yang penting selaras dengan kedudukannya yang berada di pertengahan jajaran Lebuhraya Pantai Barat yang menghubungkan kegiatan ekonomi di utara semananjung dengan Pelabuhan Klang dan KLIA. Selaras dengan itu, kawasan pembangunan Sg Lang dan Hentian di Air Manis seluas 14.4 hektar (36 ekar) juga akan dibangunkan dengan kemudahan yang lengkap sebagai Pusat Logistik dan perdagangan yang penting dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta. Sektor pelancongan berasaskan agro-tourism dan eco-tourism mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di daerah Sabak Bernam. Justeru, Kerajaan Negeri telah membaiki dan meningkatkan prasarana Kelong Paradise di Bagan Nakhoda Omar sebagai salah satu produk pelancongan dengan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai taman ikan bagi menarik kehadiran para pemancing untuk untuk berekreasi dan berlibur bersama keluarga di luar persisir pantai. Bangunan Hay Resort milik Kerajan Negeri juga akan dibangunkan semula dengan penyertaan pihak swasta dengan pelaburan sekitar RM20 juta bagi menyediakan kemudahan untuk para pelancong berkunjung, melancong, dan menginap di Sabak Bernam.  Beberapa produk baru berasaskan agro-tourism juga sedang giat diusahakan oleh pelbagai agensi berkaitan dan juga pihak swasta bagi membangunkan sektor agro-tourism di daerah ini.

     

    Kerajaan Negeri melalui agensi yang terlibat bakal membangunkan Taman-Taman Pertanian Pintar (Selangor Smart Agro Park) dengan penglibatan syarikat-syarikat besar dan berkeupayaan tinggi dari segi teknikal dan komersial, bukan sekadar bertujuan untuk membangunkan sektor pertanian berteknologi tinggi tetapi juga membangunkan agro–tourism di taman-taman pertanian tersebut.  Dua Taman Pertanian Pintar yang sedang dibangunkan di Sabak Bernam ialah Taman Pertanian Pintar Selangor di Sungai Panjang dan Sungai Air Tawar.  Kos pembangunan dan pelaburan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk taman-taman pertanian ini mencecah RM180 juta. Inisitiatif-initiatif ini diharap akan menjadi pemangkin aktiviti ekonomi Sabak Bernam serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat yang hampir dengan projek jambatan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.