Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

120) JAMBATAN KETIGA KLANG

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan negeri terhadap projek ini?

    Untuk makluman, perancangan pembinaan Jambatan Ke-3 Klang telah dibuat sebelum pilihanraya lagi. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 43/2012 bertarikh 5 Disember 2012 bersetuju supaya diadakan pertandingan merekabentuk Jambatan Ke-3 Klang. Vast Consultants Sdn Bhd selaku juara Pertandingan Rekabentuk Jambatan Ke-3 Klang telah dilantik sebagai pihak perunding kepada projek ini. Jangka masa yang diperuntukkan kepada pihak perunding bagi proses rekabentuk terperinci dengan mengambil kira konsep jambatan selaku mercu tanda dan ikon Klang Bandar Diraja adalah selama 8 bulan. Kerja-kerja diperingkat awalan seperti kerja ukur dan kerja tanah akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Proses tender akan diadakan pada bulan Februari 2014. Kerja – kerja pembinaan Jambatan Ke-3 Klang dijangka bermula pada bulan Jun 2014. Proses pembinaan adalah selama 24 bulan atau 2 tahun dan dijangka siap pada bulan Jun 2016.

  2. Apakah negeri menggunakan rizab untuk membiayai kos projek?

    Adalah menjadi matlamat kerajaan negeri untuk menguruskan kewangan kerajaan negeri dengan cekap dan teratur agar segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Kerajaan Negeri Selangor pada pembentangan Bajet 2013 telah mengumumkan akan menggunakan rizab negeri, di antaranya , bagi melaksanakan pembinaan jambatan ketiga di Klang, melaksanakan penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat, membaiki dan menaik taraf sistem saliran di Negeri Selangor dan membina rumah mampu milik melalui projek “Rumah Mampu Milik Pasang Siap” (Prefabricated Packages Home).

    Berdasarkan perancangan oleh pihak Jabatan Kerja Raya, proses tender bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang akan diadakan pada bulan Februari 2014. Kerja-kerja pembinaan Jambatan Ke-3 Klang dijangka bermula pada bulan Jun 2014. Proses pembinaan adalah selama 24 bulan atau 2 tahun dan dijangka siap pada bulan Jun 2016. Peruntukan bagi membiayai projek mulai tahun 2014 sehingga tahun 2016 akan disediakan secara tahunan dan dibayar mengikut laporan kemajuan kerja. Sekiranya terdapat pertambahan hasil di dalam tahun pelaksanaan maka peruntukan pembinaan ini akan ditampung oleh pertambahan hasil tersebut tanpa menggunakan rizab negeri yang sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.