Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
168) JALUR LEBAR SMART SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan tahap kualiti wifi di tempat tumpuan awam?
Pemasangan Wifi Smart Selangor memang memberi keutamaan di tempat tumpuan awam. Pasukan WiFi Smart Selangor di bawah SMARTSEL, anak syarikat MBI, sentiasa memantau ketersediaan (availability) dan prestasi di setiap hotspot dari semasa ke semasa melalui sistem pengurusan jaringan (Network Management System). Isu kualiti selalunya disebabkan oleh beberapa faktor iaitu lokasi, bilangan pengguna sedia ada, prestasi Access Point (AP) dan jaringan. Sekiranya terdapat isu teknikal, ia akan dipanjangkan ke pihak pembekal yang berkaitan untuk tindakan susulan.
Seperkara lagi, pasukan WiFi Smart Selangor telah memperbaiki proses untuk menyukat dan memantau prestasi pembekal perkhidmatan (TM dan CELCOM) untuk memastikan semua aduan dan masalah dapat diselesaikan dalam jangka masa yang telah dipersetujui.
-
Bilakah Wifi Selangor boleh mula diguna pakai di kawasan luar bandar terutamanya di Jeram?
Usaha untuk memperluaskan liputan Wifi Smart Selangor di kawasan luar bandar memang sentiasa dilaksanakan secara berperingkat. Namun begitu, buat masa ini, pasukan Wifi Smart Selangor belum dapat menentukan waktu untuk kawasan Jeram dapat diberi liputan Wifi Smart Selangor kerana hal ini banyak bergantung kepada ketersediaan infrastruktur jaringan teras (Core Network Infrastructure) oleh pihak pembekal yang berdekatan dengan kawasan sasaran tersebut.
Pada masa yang sama, pihak SMARTSEL, anak syarikat MBI yang mengurus jaringan Wifi in bagi pihak Kerajaan Negeri sudah mula membangunkan rangkaian digital sendiri khusus untuk Selangor termasuk memasang rangkaian teras ini di luar bandar mengikut fasa. Pelaksanaan ini akan membolehkan liputan jalur lebar yang meluas di kawasan luar bandar dalam beberapa tahun terdekat ini.
-
Berapakah jumlah peruntukan bagi projek jalur lebar Wifi Smart Selangor?
MBI telah memperuntukkan RM90 juta dalam tempoh 5 tahun iaitu dari tahun 2015 hingga ke 2020 untuk projek Wifi Smart Selangor.