Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
163) JALAN ROSAK DI JALAN KUSTA, KAWASAN INDUSTRI KAMPUNG JAYA, SUNGAI BULOH
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Siapakah pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelenggara dan membaik pulih jalan ini?
Untuk makluman Yang Berhormat, Jalan Kusta, Kawasan Industri Kampung Jaya sepanjang 1.870 km adalah didaftarkan dalam Sistem MARRIS di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Pada tahun 2019 ketika pembinaan jalan masuk ke Stesen KTMB dan MRT Sungai Buloh terdapat perbincangan dan persefahaman antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Gombak dan MPS berkaitan projek pembinaan yang diselia oleh pihak JKR Daerah Gombak bagi pemasangan lampu isyarat ke Stesen KTMB dan MRT Sungai Buloh.
Oleh itu, pada koordinat 3.2113196, 101.57612 pihak MPS telah memasang papantanda permulaan had penyelenggaran baharu di Jalan Kusta berdasarkan lokasi pemasangan lampu isyarat oleh pihak JKR Gombak dan pihak MRT. Oleh yang demikian, sepanjang 130 meter jalan yang termasuk dengan lampu isyarat ke Stesen KTMB dan MRT Sungai Buloh serta lampu isyarat Jalan Hospital ke Jalan Kusta adalah di bawah penyelenggaraan pihak JKR Gombak dan MRT.
-
Apakah status semasa selepas aduan dimajukan melalui SISPAA pada 27 Oktober 2023 dan 06 Disember 2023?
Berdasarkan aduan yang diterima melalui SISPAA pada 27 Oktober 2023 dan 06 Disember 2023 berkaitan kerosakan jalan berhampiran lampu isyarat ke Stesen KTMB dan MRT Sungai Buloh serta lampu isyarat Jalan Hospital ke Jalan Kusta, pihak MPS telah membantu secara “one off” kepada pihak JKR Gombak dan MRT bagi kerja-kerja pembaikan jalan rosak tersebut yang telah dilaksanakan pada 22 Februari 2024. Selepas pembaikan jalan tersebut, surat pemakluman telah dikeluarkan kepada pihak JKR dan MRTpada 22 Februari 2024 bagi tindakan penyelenggaraan agensi tersebut pada masa akan datang secara berterusan.