Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
190) JALAN PERSEKUTUAN 5
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah perkembangan terkini proses menaiktaraf jalan tersebut yang kebelakangan ini semakin sesak khususnya menjelang hari-hari kelepasan am ?
Ibu Pejabat JKR Malaysia telah pun membuat permohonan untuk menaiktaraf Jalan Persekutuan 5 kepada Kementerian Kerja Raya bagi dimasukkan di dalam ’Second Rolling Plan’ Rancangan Malaysia Ke 10 untuk dipertimbangkan dan diberi keutamaan memandangkan terdapat keperluan yang mendesak dari segi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Walaubagaimanapun, pihak JKR mengambil maklum tentang masalah kesesakan pada hari-hari kelepasan am dan hujung minggu seperti yang dibangkitkan. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa simpang berlampu isyarat yang terdapat di laluan tersebut yang mengganggu aliran trafik di laluan ini. Pejabat ini akan menjalankan kajian lanjut tentang kepadatan trafik disimpang-simpang berkenaan bagi mengurangkan masalah ini.
-
Sila nyatakan bilakah kerja-kerja menaiktaraf dan memasang pembahagi jalan dari kilang Bernas hingga ke Balai Bomba Sekinchan dapat dimulakan ?
Kerja-kerja menaiktaraf dan memasang pembahagi jalan dari Kilang Bernas hingga ke Balai Bomba Sekinchan akan dilaksanakan pada akhir Julai 2011.
-
Sila huraikan apakah perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya di persimpangan lampu isyarat Pekan Sekinchan dan Tanjung Karang ?
Jalan Persekutuan 5 adalah merupakan jalan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri telah pun bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping. Dengan siapnya lebuhraya ini kelak, dijangkakan bilangan trafik yang akan menggunakan laluan ini akan berkurangan dan seterusnya meredakan kesesakan di laluan ini.
Untuk makluman, JKR Selangor akan melaksanakan program ’Green Wave’ di beberapa lampu isyarat di Pekan Sekinchan bagi menyediakan aliran terus kepada trafik di laluan utama dan seterusnya melancarkan aliran trafik di Laluan Persekutuan 5.