Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
79) JALAN KAMPUNG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan untuk membangunkan dan membaiki infra jalan kampung yang selalu rosak akibat faktor tanah yang sering berombak?
Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor selaku pentadbiran yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan pembaikan jalan kampung mengambil perhatian terhadap sebarang kerosakan jalan kampung. Buat masa ini, nasihat dan pandangan daripada Agensi Teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan didapatkan bagi membantu Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor dalam membangunkan dan membaiki infra jalan kampung yang telah dikenalpasti mempunyai isu struktur/keadaan tanah. Nasihat dan pandangan daripada Agensi Teknikal ini akan dijadikan panduan dalam perlaksanaan projek jalan kampung yang akan dijalankan.
-
Bolehkah jalan di kampung dilebarkan bagi muatan kenderaan orang kampung lalu seperti MPV?
Untuk makluman, pelebaran jalan kampung adalah tertakluk kepada spesifikasi yang telah ditetapkan iaitu lebar pembukaan jalan adalah di antara 2.44m – 4.27m dan tidak memerlukan lebar bahu jalan beserta rizab jalan. Pada amnya, kelebaran ini boleh dilalui oleh kenderaan termasuk MPV.
Sekiranya jalan kampung sedia ada ingin dilebarkan lagi (maksimum sehingga 4.27 m), pelebaran boleh dibuat setelah mengambil kira keluasan rizab simpanan jalan dan keperluan untuk mengalihkan utiliti seperti tiang elektrik dan paip air.