Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
93) JALAN DAN SALIRAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi menangani jalan dan saliran tidak bertuan?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur pada masa ini dalam proses penyelarasan maklumat yang diperolehi daripada semua Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor. Tindakan seterusnya adalah penentuan pemilikan inventori infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit supaya penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan di bawah jabatan/agensi lebih terancang dan sistematik.
Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan, Longkang dan Parit Tidak Bertuan Bil. 1/2024 yang diadakan pada 11 Januari 2024 telah membincangkan data dan maklumat yang diperolehi daripada jabatan/agensi yang terlibat. Mesyuarat bersetuju agar data dan maklumat tersebut diperhalusi dan dikemaskini.
Kerajaan Negeri sedang merangka pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan parit, longkang dan jalan tidak bertuan secara one-off dan berperingkat bagi tahun 2024 mengikut fasa seperti berikut:
- Fasa 1 – RM2,500,000.00 bagi parit tidak bertuan di bawah JPS Negeri Selangor; dan
- Fasa 2 – RM2,500,000.00 bagi parit, longkang dan jalan tidak bertuan di bawah JKR Negeri Selangor, PBT dan Pejebat Daerah dan Tanah.
Melalui penyeragaman ini, masalah pertindihan tugasan di antara jabatan/agensi akan dapat di atasi dalam masa yang terdekat demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor.
-
Apakah MBDK ada perancangan untuk menaik taraf longkang-longkang kawasan perumahan yang sudah lebih 20 tahun seperti di Taman Daya Meru dan Taman Daya Maju?
Pihak Majlis telah melaksanakan projek-projek mitigasi banjir di Taman Daya Maju pada tahun 2021 iaitu kerja-kerja membina parit konkrit jenis precast U-Drain di Jalan Abadi, Taman Daya Maju, Meru, Klang Utara serta kerja-kerja yang berkaitan dengan kos RM210,000.00 dan siap sepenuhnya pada 09 Mei 2022.
Disamping itu juga, pihak Majlis mempunyai cadangan bagi kerja-kerja menaiktaraf perparitan di sebahagian Jalan Abadi, Taman Daya Meru dan Jalan Beruas 20, Taman Daya Maju, Klang Utara serta kerja-kerja berkaitan dengannya pada tahun 2024. Cadangan kerja tersebut diperingkat perolehan iklan sebutharga yang bermula pada 1 Julai 2024 dan tutup iklan pada 08 Julai 2024.