Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
68) JALAN BERMASALAH DARI SIMPANG KUALA KERLING KE PONDOK PENGAWAL LEMBAH BERINGIN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri menyedari bahawa jalan dari Simpang Kerling ke Pondok Pengawal Lembah Beringin walaupun belum serah kepada pihak kerajaan tetapi telah digunakan oleh orang awam dalam 20 tahun ini sebagai jalan yang menghubungi Kerling dengan Lembah Beringin? Jika ya, nyatakan usaha-usaha bagi memastikan jalan tersebut dalam keadaan yang selamat untuk digunakan.
Jalan yang dimaksudkan adalah jalan utama yang sepatutnya dibina oleh pemaju Land & General (L&G) bagi pemajuan Bandar Lembah Beringin tetapi proses serahan rezab awam dan pembinaan jalan tidak dilaksanakan sehingga siap sehingga status jalan tersebut kembali menjadi milik individu yang asal setelah pemaju gulung tikar. Pembangunan Lembah Beringin pada ketika ianya rancak dibangunkan akan menggunakan akses utamanya dari Toll Lembah Beringin dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan ianya telah siap dibina dan beroperasi sebelum jalan dari Pekan Kerling melalui Kg Jawa Kerling dan jalan Estate Kerling dibina oleh Pemaju sebagai akses pilihan kedua. Semakan terakhir oleh pihak MPHS dengan pihak Pejabat Daerah / Tanah Hulu Selangor mendapati proses serahan rezab jalan tersebut gagal diselesaikan oleh pihak pemaju (L&G) sehinggalah ianya diserah kepada pihak Liquidator dan seterusnya penjualan kepada pembeli yang baru juga tidak menyelesaikan masalah rezab jalan awam yang terlibat. Pihak MPHS pada mulanya masih menyeleggara jalan tersebut kerana menyangka proses serahan rezab tersebut akan diselesaikan dan disamping itu untuk lori-lori MPHS berulang alik membuat kutipan sampah. Namun sejak beberapa tahun yang lepas, skop penyelenggaraan jalan tidak lagi dibuat kerana mematuhi prosedur agar perbelanjaan kerajaan tidak dilaksanakan pada yang bukan rezab awam. Pada masa ini, di tapak pihak pemilik tanah telah meletakan papan tanda yang memaklumkan jalan tersebut adalah dalam tanah milik individu tetapi ianya masih boleh dilalui kenderaan tanpa sekatan.
-
Nyatakan panjang dan pemilik-pemilik tanah atas rezab jalan tersebut.
Anggaran panjang jalan yang dimaksudkan adalah 3.6km dan pemilik tanah yang terlibat sepanjang jalan tersebut adalah seperti berikut :
- Lot 492 dimiliki oleh Tetuan KL Kepong Berhad
- Lot 441 dan 443 dimilik oleh Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd.
- Sebahagian kecil dimiliki oleh Tetuan Lagenda Beringin.