Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
408) JAJARAN WCE
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah jajaran WCE akan dapat disiapkan keselurahan?
Status kemajuan semasa pembinaan Lebuhraya WCE bagi tempoh berakhir 25 Januari 2024 adalah sebanyak 91.69%. Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 316 km dengan 233 km dilaksanakansecarapenswastaan di bawah syarikat konsesi West Coast Expressway Bhd. (WCESB) dan 83 km lagi adalah dibawah seliaan JKR telah disiapkan serta telah beroperasi. Bagi jajaran dalam Negeri Selango, dua (2) seksyen telah disiapkan dan dibuka kepada pengguna iaitu Seksyen 5 (Persimpangan NNKSB – Persimpangan Kapar) telah dibuka pada tahun 2019 dan seksyen 6 (Persimpangan Kapar-Persimpangan Assam Jawa) pada November 2023. Manakala Seksyen 1 (Persimpangan Banting – SKVE) diikuti oleh Seksyen 2 (Persimpangan SKVE – SAE) dijangka akan dibuka pada suku kedua tahun 2024. Sementara itu, baki bagi jajaran Seksyen 3 (Persimpangan SAE – NKVE FHR2) dan Seksyen 7 (Persimpangan Assam Jawa – Persimpangan Tanjung Karang) masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2025 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran WCE.
-
Apakah masalah yang dihadapi dalam jajaran WCE di Negeri Selangor?
Antara masalah yang dihadapi dalam jajaran WCE di Negeri Selangor yang menyebabkan kelewatan projek adalah berkaitan isu pengalihan utiliti, isu pengambilan tanah yang melibatkan lot langgar syarat, dan penetapan jajaran seksyen 7 (Tanjung Karang). Walau bagaimanapun, kesemua isu tersebut telahpun dapat diselesaikan dan kerja-kerja pembinaan sedang berjalan ditapak sebagaimana yang dijadualkan.
-
Apakah punca bahagian WCE di bahagian DUN Bandar Baru Klang masih belum dibuka yang terdapat di lebuh raya Selat Klang?
Bahagian jajaran yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat adalah di Seksyen 4 (NKVE FHR2 – NNKSB) iaitu jajaran yang menghubungkan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam ke Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara (NNKSB) di Bukit Raja, Klang sejauh 4.5 km telah di siapkan pada November 2022 namun jajaran ini adalah bersifat ‘missing link’ yang menyebabkan bahagian jajaran ini tidak dapat dibuka kepada awam memandangkan ianya hanya boleh dibuka selepas penyiapan dan pembukaan bersekali dengan Seksyen 3 iaitu Persimpangan SAE – NKVE FHR2.