Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
180) JAJARAN REL KITA SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan terkini terhadap usaha Jajaran Rel Kita Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor dalam fasa akhir untuk memuktamadkan Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor untuk menganalisis, mengenal pasti dan mengesahkan kebolehlaksanaan pembinaan Jajaran Rel Selangor melalui beberapa aspek iaitu:
- menentukan kesesuaian koridor yang dicadangkan dari segi penggunaan tanah, topografi, pembangunan dan persekitaran;
- memastikan cadangan koridor rel baharu tersebut menyokong sistem pengangkutan sedia ada;
- Untuk memastikan terdapat permintaan untuk pengangkutan awam di sepanjang jajaran yang dicadangkan;
- memastikan laluan rel yang dicadangkan berdaya maju dalam jangka pendek dan panjang;
- mengkaji kesan pembinaan landasan rel dari segi nilai sosial dan pertumbuhan ekonomi; dan
- mengenal pasti laluan penjajaran terbaik berdasarkan petunjuk utama, seperti masa perjalanan, geometri, ketersambungan pengangkutan, impak sosial, kebolehbinaan, hak jalan, pengambilan tanah, kos pembinaan dan penumpang.
-
Apakah usaha seterusnya selepas kajian jajaran diselesaikan?
Hasil daripada pelaksanaan kajian, Kerajaan Negeri akan mengenalpasti model pembiayaan yang bersesuaian dan dana pembiayaan yang berpotensi, memandangkan kos pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan rel adalah tinggi. Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan hasil Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor kepada Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan maklumbalas dan hala tuju daripada pihak Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan tersebut memandangkan pembinaan jajaran keretapi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan merujuk kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) di mana Subseksyen 83(2). Sesi libat urus telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan pihak Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan maklumbalas dan input daripada pihak Kementerian berhubung cadangan Jajaran Rel Selangor ini.
-
Apakah sasaran tempoh masa yang diperlukan bagi menjayakan Jajaran Rel Kita Selangor?
Berdasarkan laporan awal kajian, anggaran tempoh pembinaan Jajaran Rel Selangor adalah sepuluh (10) tahun, yang melibatkan pelbagai fasa iaitu Reka Bentuk Awal dan Paparan Awam (Public Display); Permohonan Skim Kereta Api Bersyarat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Badan Berkaitan; Pemeriksaan Awam dan Pengenalpastian Maklumbalas; Penyediaan Reka Bentuk Terperinci; Persediaan bagi Pelaksanaan Tender, Pengambilan Tanah dan Proses Perbicaraan Tanah; Fasa Pembinaan dan Pengintegrasian Sistem; serta Sesi Pengujian dan Pentauliahan.
Walau bagaimanapun pembinaan jajaran rel ini bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan dan skim pembangunan yang bersesuaian memandangkan kos pembinaan, pengoperasian dan penyelenggaraan rel melibatkan kos yang tinggi.