Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

108) JAJARAN REL KITA SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Jajaran Rel Kita Selangor telah dimuktamadkan dan senaraikan laluan-laluan tersebut?

    Cadangan Jajaran Rel Selangor dalam fasa akhir untuk dimuktamadkan melalui kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilaksanakan bagi mengenalpasti aspek daya maju cadangan jajaran tersebut. Cadangan jajaran utama yang dikenalpasti melibatkan kawasan Utara Selangor (Sabak Bernam – Klang) dan Selatan Selangor (Klang – KLIA – Seremban/ Labu).

  2. Apakah limpahan ekonomi daripada jajaran Rel Kita Selangor?

    Cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor dijangka dapat memberi kesan positif kepada Selangor, termasuk dari aspek limpahan ekonomi kepada negeri, mengambilkira aspek ketersambungan dengan pusat logistik utama negara seperti Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Pembangunan jajaran tersebut dijangkakan akan dapat membantu mengintegrasikan ekonomi tempatan dengan kawasan metropolitan yang lebih besar, meningkatkan perdagangan, pembangunan industri-industri dan perniagaan, dan akses kepada pasaran.

    Wilayah Utara Selangor contohnya, mempunyai pengeluaran hasil pertanian yang besar yang boleh mendapat manfaat daripada logistik/ pengangkutan melalui perkhidmatan rel yang dapat mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan akses pasaran.

    Begitu juga di Koridor Selatan Selangor, yang menjadi lokasi tumpuan bagi pembangunan perindustrian serta jajaran cadangan akan menghubungkan kawasan setempat dengan KLIA. Pembangunan jajaran rel akan memberi manfaat yang besar melalui ketersambungan pengangkutan yang lebih baik dengan pengangkutan awam sedia ada dan perkhidmatan pengangkutan rel yang lain seperti MRT, LRT, KTM Komuter dan KLIA Ekspress, yang sekaligus dapat meningkatkan kecekapan pengangkutan penumpang di samping merancakkan lagi industri rel dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan pembangunan bakat serta kemahiran.

Lampiran

Tiada Lampiran.