Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

144) JAJARAN REL KITA SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status perancangan Jajaran Rel Kita Selangor yang diperuntukkan RM3 juta bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan?

    Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor dilaksanakan bagi memastikan cadangan Jajaran Rel Selangor adalah berdaya maju untuk dibangunkan. Kajian ini akan mengambil kira jajaran utama dari Utara Selangor iaitu Sabak Bernam sehingga ke Seremban, yang turut akan melalui kawasan Shah Alam/ Klang serta jajaran spurlines ke beberapa kawasan hotspot seperti Westport, KTMB Klang, dan Bestari Jaya bagi meningkatkan tahap ketersambungan (connectivity) pengangkutan awam Selangor.

    Kajian ini adalah dalam proses pelaksanaan, di mana ia telah bermula sejak 22 Julai 2024 yang lepas dan dijangka tamat pada 21 Januari 2025, dengan jangka masa enam bulan tempoh kajian. Proses pengumpulan data sedang dilaksanakan untuk mengenalpasti aspek seperti pembangunan sedia ada, pembangunan yang dicadangkan, jenis guna tanah, jajaran sungai, jajaran jalan raya serta jajaran kereta api (sedia ada dan cadangan jajaran) serta model pembiayaan yang bersesuaian bagi projek Jajaran Rel Selangor.

    Lawatan tapak juga telah dilaksanakan untuk mengenal pasti potensi cabaran yang berkaitan dengan topografi, infrastruktur dan penggunaan tanah yang boleh memberi kesan kepada jajaran rel yang dicadangkan, meliputi kawasan hotspot dari Seremban ke Sabak Bernam di sepanjang jajaran yang dicadangkan.

    Selain daripada itu, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang antaranya Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya Persekutuan, Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Keretapi Tanah Melayu Berhad, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Malaysia Airports Holding Berhad, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan lain-lain juga telah dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan cadangan jajaran kelak mengambilkira semua aspek termasuk aspek teknikal berdasarkan maklumat yang diperoleh.

    Cadangan pelaksanaan kajian ini juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat EXCO-MTES pada 18 September 2024 yang lepas dan mesyuarat secara dasarnya telah bersetuju dengan pelaksanaan kajian serta jajaran yang dicadangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.