Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

265) JADUAL PENYELENGGARAAN PARIT DAN LONGKANG

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah kekerapan kerja penyelenggaraan sungai, parit dan longkang di bawah JPS, JKR, PBT dan Pejabat Daerah?

    PDT KLANG

    Untuk makluman Yang Berhormat, masalah air bertakung berlaku disebabkan taburan hujan yang lebat dan keadaan struktur jalan raya seperti tidak rata, berlubang atau berlopak dan laluan air terhalang disebabkan daun-daun kering mahupun sampah sarap. Keadaan ini telah menyumbang kepada kerosakan dan masalah keselamatan kepada pengguna jalanraya sama ada milik PBT, Pejabat Daerah mahupun JKR. Bagi perkara ini, masalah air bertakung yang melibatkan jalan luar bandar (PLB) iaitu jalan kampung di bawah seliaan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang diselesaikan dengan kaedah pembaikan jika ada kerosakan bagi tanah rizab dan penurapan jalan berdasarkan permohonan izin lalu yang dikemukakan oleh pemilik tanah. Kerja-kerja pembaikan dan penurapan akan mengambilkira faktor-faktor penyebab kerosakan sedia ada dengan menambah kualiti kerja termasuk penambakan tanah, ketebalan crusher-run dan premix yang bersesuaian bagi memastikan jalan kampung yang diperbaiki mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

    Pihak Pejabat Daerah tidak melaksanakan kerja penyenggaraan sungai, parit dan longkang secara rutin atau berjadual kerana perkara tersebut bukan di bawah inventori/ penyenggaraan Pejabat Daerah.

     

    JPS

    Kekerapan penyelenggaraan saliran di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah mengikut keperluan dan keadaan sungai, parit atau longkang berkenaan. Kekerapan kerja penyelenggaraan adalah sekurang-kurangnya sekali setahun dan boleh mencecah sebanyak enam (6) kali setahun. Kekerapan kerja penyelenggaraan sehingga enam (6) kali kebiasaannya adalah tertumpu kepada kawasan berkepadatan tinggi. Skop kerja penyelenggaraan adalah termasuk pembersihan tebing dan juga pembersihan dalam sistem saliran.

     

    JKR

     Berdasarkan kepada Kontrak Jangka Panjang penyelenggaraan Jalan Negeri sedia ada, pusingan kerja bagi penyelenggaraan longkang untuk Secondary Road dan Minor Road di bawah JKR adalah empat (4) kali setahun manakala untuk Protocol dan Primary Road adalah enam (6) kali setahun. Bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan sedia ada melalui kontrak konsesi, pusingan kerja bagi penyelenggaraan longkang unutk Jalan Protokol adalah empat (4) kali setahun manakala untuk Jalan Utama/ Jalan Sekunder adalah dua (2) kali setahun.

     

    MPK

     Kekerapan untuk kerja pembersihan parit tahunan adalah sebanyak tiga (3) bulan sekali.

     

  2. Pihak manakah yang akan memantau kerja penyelenggaraan sungai, parit dan longkang telah dibuat mengikut jadual?

    PDT Klang

    Jumlah aduan yang diterima oleh PDT Klang melalui emel, surat dan sistem SISPAA adalah sebanyak 48 aduan bagi tahun 2018 hingga bulan Oktober tahun 2022. Untuk makluman Yang Berhormat, aduan-aduan yang diterima adalah melibatkan pelbagai jenis aduan berkaitan jalan tanah rizab dan jalan kampung PLB, saliran parit, isu lalu lintas dan sebagainya. Pecahan bilangan kes aduan mengikut tahun adalah seperti berikut:-

    • (i) Tahun 2018 : 5 aduan
    • (ii) Tahun 2019 : 13 aduan
    • (iii) Tahun 2020 : 6 aduan
    • (iv) Tahun 2021 : 13 aduan
    • (v) Tahun 2022 : 11 aduan

     

     

     

    JPS

     Setiap agensi yang bertanggungjawab terhadap sistem saliran masing-masing adalah bertanggungjawab untuk membuat pemantauan kerja penyelenggaraan yang telah dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

     

    JKR

    Untuk Jalan Negeri di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, longkang yang terlibat di bawah kontrak penyelenggaraan sedia ada adalah longkang tepi jalan yang menyalurkan air larian permukaan dari jalan berkenaan sahaja. Penyelenggaraan longkang tersebut adalah di bawah pemantauan dan seliaan JKR Daerah yang berkenaan.

     

    MPK

     Pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau kerja-kerja pembersihan parit berdasarkan skop dan inventori.

  3. Parit Jalan Paip dan Jalan Kasban di bawah siapa?

    JPS

     Untuk makluman, terdapat sebatang sungai di Jalan Paip iaitu Sungai Binjai yang terletak di sebelah kanan (menghala ke Pekan Meru). Tanggungjawab penyelenggaraan Sungai Binjai adalah di bawah pihak JPS. Manakala sistem saliran di Jalan Kasban yang sebelum ini terlibat dengan Projek Menaiktaraf Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Meru yang dilaksanakan oleh JPS. Projek tersebut telah tamat dan sistem saliran tersebut dalam proses penyerahan semula kepada MPK.

     

    JKR

    Jalan Paip dan Jalan Kasban adalah merupakan Jalan Negeri. Kedua-dua parit ini mempunyai kelebaran purata 3 hingga 6 meter. Pihak JKR menyelenggara longkang yang direka bentuk hanya untuk menampung air larian permukaan jalan sahaja di mana kelebaran maksimum adalah 2 meter manakala ‘monsoon drain’ serta saliran lain di lokasi berkenaan adalah di bawah kawalan JPS Selangor. Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan surat Penyelenggaraan dan Penambahbaikan Infrastruktur Dan Kemudahan Awam di Negeri Selangor bertarikh 22 September 2022 menyatakan dengan jelas pada perkara 5 bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan bahawa semua longkang dan parit Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang berada di dalam kawasan PBT hendaklah diserahkan kepada PBT untuk tujuan penyelenggaraan. Longkang tepi jalan yang menyalurkan air larian permukaan dari permukaan jalan di Jalan Paip dan Jalan Kasban adalah di bawah kawalan JKR Selangor.

     

     

    MPK

    Parit konkrit pembangunan sahaja di Jalan Kasban adalah di bawah penyelenggaraan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

     

    PDT Klang
    Bukan di bawah PDT Klang / Tiada terlibat.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.