Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

149) JABATAN VETERINAR DAN KAWALAN HAIWAN TERBIAR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Jika kawalan ke atas haiwan terbiar terutama anjing dan kucing sampai ke tahap berbahaya kepada kesihatan dan keselamatan manusia, bolehkah program kembiri haiwan micro-chipping ini diketuai oleh Jabatan Veterinar dengan Kerjasama PBT? Jika tidak boleh, apa sebabnya?

    Bagi pengetahuan semua pihak, kembiri dan microchipping merupakan dua (2) perkara berasingan yang mempunyai objektif berbeza. Kembiri adalah kaedah memandulkan haiwan dan sering dipraktikkan bagi tujuan mengawal populasi haiwan. Microchipping pula adalah pemasangan (secara suntikan) mikrocip ke atas anjing dan kucing yang bertuan dan perlu didaftarkan ke dalam passport haiwan bersama-sama nama pemiliknya. Pemasangan mikrocip dan passport haiwan pula bertujuan ke arah pemilikan haiwan yang bertanggungjawab. Selain itu, mikrocip dan passport haiwan juga merupakan syarat utama pemindahan haiwan dari atau ke luar negara.

    Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (atau ringkasnya DVS Selangor) tidak mampu mengetuai program bersepadu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan kembiri anjing dan kucing berdasarkan sebab-sebab berikut:

    1. DVS Selangor kekurangan Doktor Veterinar yang merupakan sesatunya jawatan yang mempunyai tauliah untuk melaksanakan kembiri ke atas haiwan kesayangan. Ketika ini, DVS Selangor hanya mempunyai tiga (3) orang Doktor Veterinar yang bertugas di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (atau ringkasnya PVD). Bagi pengetahuan semua pihak, bukan semua Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah di seluruh negeri Selangor berkelulusan Kedoktoran Perubatan Veterinar (Doctor in Veterinary Medicine – DVM) atau yang setaraf dengannya.
    2. Tugas Doktor Veterinar yang ditempatkan di PVD pula tidak terhad kepada rawatan dan pembedahan haiwan kesayangan semata-mata. Malah, ianya juga merangkumi kerja-kerja pentadbiran, kesihatan veterinar (termasuk merawat, mencegah, mengawal dan membasmi penyakit haiwan), membangunkan industri penternakan serta mengawal selia aktiviti penternakan berdasarkan undang-undang (regulatori) di samping menguatkuasakan akta kebajikan haiwan. Maka itu, aktiviti kembiri haiwan tidak mampu diutamakan dan seterusnya tidak dapat dijalankan sepenuh masa.
    3. DVS Selangor juga tidak mempunyai peruntukan mengurus yang mencukupi untuk melaksanakan program pemandulan haiwan berkeliaran.
    4. Sebagai alternatif kepada kedua-dua kekangan ini, DVS Selangor pernah mencadangkan program insentif pemandulan untuk anjing dan kucing bagi tujuan kebajikan haiwan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 namun cadangan ini tidak diluluskan.
    5. Sebagai pilihan lain seterusnya, DVS Selangor bersedia untuk membantu dari sudut khidmat nasihat teknikal dan kepakaran sekiranya terdapat Pihak Berkuasa Tempatan yang ingin melaksanakankan operasi mengawal haiwan berkeliaran termasuk pemandulan anjing dan kucing pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.