Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
147) JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR (JAKESS)
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah masalah utama yang dihadapi oleh jabatan ini?
Masalah utama yang dihadapi oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor adalah berkaitan pengurusan kes di mana terdapat banyak kes-kes tertunggak dan memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Namun begitu, perkara tersebut telah diambil tindakan di mana pihak kerajaan telah mewartakan satu lagi Mahkamah Rendah Syariah (MRS) yang baru iaitu MRS Ampang pada tahun 2008 dan kewujudan MRS Ampang ini banyak membantu mengurangkan kes-kes tertunggak di MRS Hulu Langat di samping memudahkan pihak-pihak untuk berurusan dengan mahkamah Syariah. Selain itu, pihak Kerajaan juga telah menambah sebanyak 94 Perjawatan Kontrak yang terdiri daripada Pegawai Sulh, Pegawai Penyelidik, Pendaftar dan Penolong Pendaftar yang ditempatkan di Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) dan juga di MRS seluruh Negeri Selangor. Hasil yang kita dapat lihat pada hari ini, banyak kes-kes tertunggak dapat dikurangkan mutu penyampaian perkhidmatan di Mahkamah Syariah bertambah baik.
-
Adakah setiap daerah di Negeri Selangor mempunyai mahkamah khusus ini?
Mahkamah Rendah Syariah (MRS) diwujudkan di setiap daerah dan sehingga kini sebanyak 12 buah MRS yang telah diwujudkan iaitu MRS Shah Alam, MRS Petaling, MRS Ampang, MRS Gombak Timur, MRS Gombak Barat, MRS Hulu Selangor, MRS Klang, MRS Kuala Langat, MRS Hulu Langat, MRS Sepang, MRS Kuala Selangor dan MRS Sabak Bernam.
-
Nyatakan kes-kes tertunggak di JAKESS bagi tahun 2016 dan 2017
Sehingga bulan September 2017, sebanyak 646 kes tertunggak yang dilaporkan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, 224 adalah kes mal, manakala baki 422 adalah kes jenayah.