Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
248) ISU WARGA ASING DAN PELARIAN
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri telah ada rancangan bagi menguruskan pelarian ini?
Kerajaan Negeri tidak mempunyai rancangan bagi menguruskan pelarian dari kalangan warga asing memandangkan ia bukan berada di bawah seliaan Kerajaan Negeri, sebaliknya di bawah dasar dan kawalan Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf status “Pelarian” memandangkan Malaysia bukan negara ahli kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967. Walau bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, Kerajaan Malaysia membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memegang Kad UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) tinggal sementara di negara ini. Dasar Negara mengenai perkara ini adalah menggunakan asas “satu kes ke satu kes” (case by case basis).
Sehubungan dengan itu, Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan suatu arahan iaitu Arahan No: 23 yang ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan Negara bertarikh 24 Ogos 2009, berkaitan Mekanisme PATI Yang Memegang Kad UNHCR.
PATI yang memegang Kad UNHCR” ertinya PATI yang diberikan kad pengenalan oleh UNHCR selepas menjalani proses pendaftaran dan temuduga serta disahkan statusnya oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.
-
Jika ada, bagaimana ianya berfungsi atau dilaksana secara undang-undang?
Bagi membolehkan sesuatu rancangan berfungsi atau dilaksana secara undang- undang, setiap tindakan perlu disokong oleh punca kuasa dan diperuntukkan bidang kuasa yang jelas dari segi kebolehlaksanaannya.
Mengambil kira faktor kekangan bidang kuasa seperti dinyatakan di perenggan (a) di atas, Kerajaan Negeri tidak mempunyai rancangan bagi menguruskan pelarian dari kalangan warga asing.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan isu peniaga kedai warga asing khususnya warga Acheh yang menjual barangan haram seperti rokok?
i. Bidang kuasa berkaitan warga asing juga bukan di bawah seliaan Kerajaan Negeri, sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat adalah seperti Jabatan Imigresen, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya.
Kuasa Kerajaan Negeri adalah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu terhad setakat kawalan dari segi lesen perniagaan terhadap peniaga yang terdiri dari kalangan warga asing.
Namun begitu, dari segi perancangan, penguatkuasaan, pengoperasian, tangkapan, pengusiran dan kawalan terhadap warga asing dari mana-mana negara luar dan barangan haram seperti rokok seludup etc. adalah di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan Persekutuan, yang mana operasi penguatkuasaan oleh agensi berkenaan sedang giat dijalankan secara berterusan.