Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

134) ISU WARGA ASING

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengawal selia dan memastikan isu warga asing yang menjalankan perniagaan di atas nama individu tempatan?

    Kerajaan Negeri melalui setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen atau permit kepada warga asing selaras dengan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian yang tidak membenarkan peniaga selain warganegara.

     

    Selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020 iaitu Garis Panduan Dasar Aktiviti Penjaja Dan Peniaga Kecil Di Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 19 Jun 2020, kawalan terhadap peniaga warga asing dan penguatkuasaan yang boleh dikenakan oleh PBT adalah seperti berikut:

     

    1. Mengadakan sekatan berupa larangan kepada bukan warganegara Malaysia memohon dan memiliki lesen penjaja, pasar malam dan pasar pagi;
    2. Melarang bukan warganegara Malaysia membantu atau bekerja atau berada bersama-sama penjaja di lokasi perniagaan;
    3. Menetapkan hanya warganegara asing yang memiliki Visa pekerjaan yang khusus dengan aktiviti perniagaan sahaja yang boleh diambil bekerja di premis perniagaan dan tred;
    4. Menetapkan sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah peniaga yang digaji terdiri daripada warganegara Malaysia;
    5. Memasukkan syarat dalam lesen perniagaan yang mana pihak pemilik perlu mengemukakan pas pekerja yang sah;
    6. Mengeluarkan notis tunjuk sebab tidak berniaga sendiri;
    7. Mengeluarkan notis tunjuk sebab tidak berniaga langsung;
    8. Membatalkan lesen penjaja dan menyenarai hitam nama peniaga dari memohon apa-apa jenis perniagaan kerana melanggar syarat-syarat lesen penjaja bagi aktiviti perniagaan yang melibatkan kawasan komersial atau industri di bawah peruntukan Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 2007, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007 dan mana-mana UUK berkaitan di bawah Perkara 4(4)(c) – Apa-apa syarat atau sekatan yang dinyatakan di dalamnya; dan
    9. Melaksanakan siasatan terperinci bagi membuktikan bahawa warga asing merupakan pemilik kepada perniagaan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.