Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

283) ISU TAPAK SAMPAH HARAM

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kegiatan sampah haram masih tidak terkawal terutamanya di Bukit Serdang Sek 5, Sek 7 dan beberapa tempat lagi walaupun Menteri Besar telah membuat lawatan tapak. Apakah solusi untuk menghentikan operasi semua tapak pembuangan sampah haram ini dengan segera?

    Penggunaan tanah sebagai tapak pembuangan sampah haram adalah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang berikut:

    i) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172);
    ii) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133); dan
    iii) Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (Majlis Bandaraya Subang Jaya) 2007.

    Berdasarkan kepada perkara di atas, Akta sedia ada adalah didapati mencukupi untuk mengawal operasi tapak pembuangan sampah haram. Walau bagaimanapun, penambahbaikan dan pindaan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada perlu dibuat untuk memastikan isu pembuangan sampah haram dapat ditangani secara berkesan dengan meningkatkan kadar penalti dan hukuman terhadap pesalah-pesalah sampah memandangkan kadar penalti sedia ada rendah dan tidak mempunyai kadar siling menyebabkan Pihak Berkuasa Tempatan tidak dapat mengawal atau mencegah pesalah-pesalah sampah daripada menghentikan aktiviti pembuangan sampah haram.

    Berikutan penularan kes pencemaran air dan bau serta tambakan sampah haram di kawasan Bukit Serdang 5, Seri Kembangan, Majlis Bandaraya Subang Jaya telah mengambil tindakan pendakwaan terhadap 6 individu di atas 5 pertuduhan di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Seksyen 70A(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

    Dalam perkara ini, 2 orang pemilik tanah telah mengaku bersalan pada 24 Oktober 2023 dan telah dijatukan hukuman denda sebanyak RM 4,000.00 setiap seorang. Manakala, pihak peguam bagi kes-kes lain telah mengemukakan representasi untuk pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor bagi menggugurkan pertuduhan terhadap pemilik tanah.

    Untuk makluman, MBSJ juga telah mengambit tindakan sivil bagi memfailkan permohonan injunksi pada 10 April 2023 di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap pemilik-pemilik tanah dan pengusaha bagi Lot 2029 dan Lot 2033 hanya bagi menangani isu kolam takungan yang telah tercemar akibat leachate daripada tambakan sampah haram yang dijalankan di lot-lot tersebut mengalir ke saliran air. Tarikh pengurusan kes terkini adalah pada 16 April 2024.

    Seterusnya, peguam Majlis juga dalam tindakan untuk mengemas kini maklumat terkini bagi pemilik tanah Lot-Lot 2112, 2113, 2114, 2115, 2116, dan 2117 untuk menangani isu tambakan sampah haram.

Lampiran

Tiada Lampiran.