Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
106) ISU TAPAK SAMPAH HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah halangan yang kerajaan hadapi dalam membasmi tapak sampah haram?
MPKJ
Antara halangan yang dihadapi semasa menjalankan operasi ke atas tapak sampah haram adalah:
i. Halangan fizikal iaitu provokasi daripada pihak/individu yang membuang sampah serta operator yang menguruskan tapak sampah haram tersebut serta kewujudan tonto-tonto yang berada di sekitar tapak yang memberikan maklumat keberadaan kenderaan Jabatan;
ii. Kekangan punca kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terhad kerana peruntukan perundangan sediada adalah tertakluk hanya kepada pembuang sampah (lori sampah) tidak termasuk operator yang menguruskan tapak sampah haram tersebut.
SPBT
Isu pembuangan dan penjagaan alam sekitar berkait rapat dengan sikap dan tanggungjawab semua. Semua pihak perlu bekerjasama dan pihak Majlis akan mengambil tindakan mengikut peruntukan Akta dan undang-undang sedia ada bagi menangani isu sampah.
Terdapat beberapa halangan yang dikenal pasti dalam membasmi tapak sampah haram, antaranya adalah:
i. halangan fizikal iaitu provokasi daripada pihak/ individu yang membuang sampah serta operator yang menguruskan tapak sampah haram tersebut serta kewujudan tonto-tonto yang berada di sekitar tapak yang memberikan maklumat keberadaan kenderaan Jabatan;
ii. kekangan punca kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana peruntukan perundangan sedia ada di bawah UUK adalah terhad dan tertakluk hanya kepada pembuang sampah (lori sampah), tidak termasuk operator yang menguruskan tapak sampah haram tersebut dan tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan kepada pengusaha sampah haram yang menggunakan tanah orang lain;
iii. kuasa perundangan untuk dikenakan ke atas operator yang menjalankan (bukan yang membuang) adalah tidak jelas dan amaun denda pada peruntukan undang undang kecil adalah tidak relevan;
iv. kebanyakan operator yang menjaga tapak pelupusan sampah haram adalah individu yang mempunyai latar belakang jenayah atau terlibat dengan gengsterisme.
v. terdapat rumah ibadat yang telah didirikan dalam kawasan tapak pelupusan sampah haram dan menjadi isu keagamaan apabila penguatkuasaan dijalankan;
vi. tanah milik persendirian yang tidak diuruskan dan dijaga dengan baik. Maklumat pemilik tanah seperti alamat surat-menyurat dan nombor telefon untuk dihubungi juga sukar untuk diperolehi berikutan maklumat yang kadang kala tidak dikemas kini;
vii. tanah terbiar/ premis terbiar dan lot rizab yang tiada kawalan oleh pemilik yang memudahkan pencerobohan oleh pihak lain;
viii. aktiviti pembuangan sampah haram berulang semula di tempat yang sama;
ix. tindakan penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi-agensi kerajaan termasuk mengenal pasti pemilik yang sah mengambil masa yang panjang; dan
x. kekangan anggota bagi tujuan pemantauan dan tindakan dan kuasa-kuasa PBT ke atas pemilik tanah/ kenderaan-kenderaan yang membawa sampah adalah terhad.
-
Apakah tindakan yang akan diambil terhadap tapak sampah haram di kawasan Pinggiran Delima?
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sentiasa komited dalam usaha untuk membanteras aktiviti pembuangan sampah haram ini daripada berterusan. Untuk rekod, MPKj telah menyita lapan (8) buah lori pada tahun 2021 dan 12 buah lori (sehingga bulan Oktober 2022) di tapak sampah haram di kawasan Pinggiran Delima.