Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

27) ISU TANAH RUNTUH RAWANG PERDANA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan bagi isu tanah runtuh di kawasan Rawang Perdana 1?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, kes tanah runtuh di Lot 1258 Taman Rawang Perdana Fasa 5 telah berlaku pada 22 Mei 2018 ketika keadaan cuaca hujan lebat berpanjangan. Susulan itu, Notis Arahan Pembaikan telah dikeluarkan kepada semua 10 pemilik Lot 1258 pada 31 Mei 2018 (No. Rujukan Notis : Bil.(13) MPS 3/2-1851 Jld. 11 (FAC). Pihak majlis telah membantu dengan memasang Kanvas Helaian Tarpaulin pada 19 November 2018 bagi tindakan kecemasan kawalan hakisan permukaan tanah runtuh selaras keputusan Mesyuarat Penyelarasan Bencana Daerah Gombak pada 25 Julai 2018. Notis Arahan Pembaikan telah dikeluarkan kali ke 2 kepada pemilik Lot 1258 pada 06 Disember 2018 (No. Rujukan Notis : Bil (7)dlm.MPS 3/2-1851 Jld. 13 (FAC)) bagi tindakan jangkamasa panjang diambil oleh pemilik lot. Melalui Mesyuarat Penyelarasan Bencana Daerah Gombak tersebut juga, pihak PDT Gombak turut sama akan menyediakan kronologi bagi tindakan pengambilan tanah yang terjejas dan dibentang di Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) berkenaan isu ini untuk tindakan yang seterusnya.

  2. Adakah kerajaan boleh mengambil tindakan pembaikan cerun di tanah mempunyai hak milik sekiranya mempunyai risiko membahaya nyawa penduduk berdekatan?

    Pihak   majlis   telah   memohon   kebenaran   melalui   surat   No.  Rujukan : Bil(1)dlm.MPS3/2-469/21 Jld. 4 bertarikh 28 September 2021 kepada pihak peguam Tetuan Kam Sidhu Advocates & Solicitors yang mewakili anak guaman (Pemilik Lot 1258 Rawang Perdana Fasa 5) bagi  tindakan  baikpulih  jangkamasa  pendek  bagi mengurangkan risiko tanah runtuh. Walau bagaimanapun masih tiada maklumbalas susulan daripada pemilik lot mahupun peguam yang mewakili pemilik lot tersebut.

     

  3. Apakah tindakan kerajaan yang boleh diambil terhadap pemilik tanah yang tidak bertanggungjawab mengurus tanah milik sendiri?

    Bagi kes hakisan tanah di Rawang Perdana, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk melakukan kajian geologi di lokasi. Berdasarkan penemuan kajian, cerun di kawasan tersebut dikategorikan sebagai berisiko tinggi dengan hazard score berjumlah 89 dan tindakan pembaikan perlu dibuat segera oleh pemilik tanah kerana status tanah adalah tanah hak milik.

    Sehubungan dengan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak akan mengeluarkan surat pemakluman secara pentadbiran kepada pemilik tanah untuk mengambil tindakan ke atas tanah miliknya seperti yang disyorkan oleh JMG.

    Untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka panjang, Pentadbir Tanah berpandangan terdapat 2 kaedah yang boleh digunapakai iaitu:

     

    • penyerahan sebahagian tanah yang terlibat secara rela hati oleh pemilik tanah kepada Kerajaan Negeri mengikut Seksyen 200 Kanun Tanah Negara 1965, tertakluk kepada kepada persetujuan semua pemilik tanah berdaftar; atau
    • sekiranya pemilik tanah enggan, Pentadbir Tanah boleh mengesyorkan pengambilan tanah yang terlibat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan kawasan tersebut dirizabkan sebagai Zon Penampan mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang mana YB Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang sebagai Pegawai Penyelenggara, tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.