Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

32) ISU TANAH RUNTUH DAN TANAH PEMILIK TERBIAR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini mengenai isu penyelesaian tanah runtuh di Rawang Perdana 5 dan Bukit Rawang Jaya?

    Untuk makluman Yang Berhormat, hakisan kawasan cerun tersebut melibatkan lot tanah hakmilik individu Lot 1258. Pihak Majlis Perbandaran Selayang telah membuat kerja pemasangan tarpauline sheet dan sistem saliran air permukaan cerun bagi mengelak hakisan bertambah buruk dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 200,000.00 melalui kebenaran tuan pemilik tanah. Tuan tanah telah dikeluarkan notis bagi melaksanakan pembaikan hakisan secara kekal dengan mendapatkan khidmat nasihat Perunding Geoteknikal Bertauliah. Susulan daripada keputusan Kertas Mesyuarat Exco-MTES Bil. 1/11/2023 pada 07 Jun 2023 Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah membuat beberapa kali rundingan bersama pihak tuan tanah bagi proses serahan kepada kerajaan bagi membolehkan kerja- kerja pembaikan tanah runtuh dilaksanakan segera setelah serahan tanah kawasan berisiko hakisan tanah runtuh dipersetujui pemilik tanah.

    Tambahan pula, Pihak MPS juga telah melantik juruukur bagi mendapatkan ukuran sebenar Lot 1258. Namun begitu, pihak PDT Gombak mendapati pelan Lot 1258 (20.4745 ha) terlibat dengan 2 kali pengambilan tanah bagi projek Rawang Bypass. Bagi pengambilan pertama pelan akui telah dikeluarkan dengan baki keluasan 16.21 ha (PA208862). Manakala bagi pengambilan kedua seluas 8.5375 ha, baki lot masih belum diukur oleh pihak JUPEM dan dalam tindakan pihak JKPTG Selangor.

  2. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan dan penduduk sekiranya pemilik tanah tidak menjaga tanah miliknya yang boleh mengancam keselamatan atau mengganggu kehidupan jiran-jirannya?

    Tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan penduduk sekiranya pemilik tanah tidak menjaga tanah miliknya yang mana boleh mengancam keselamatan atau mengganggu kehidupan jiran-jirannya boleh dilihat melalui beberapa aspek yang berkaitan. Sebagai contoh sekiranya tanah tersebut tidak dijaga oleh pemiliknya sehingga berlaku pencerobohan dan pelanggaran syarat nyata seperti yang dinyatakan di dalam salinan hakmilik, maka pihak kerajaan dengan menggunakan mana-mana peruntukan perundangan yang berkaitan boleh mengeluarkan sebarang Notis pelanggaran syarat sehingga boleh mengakibatkan tanah tersebut dirampas dan menjadi milik kerajaan.

    Dari sudut aspek yang lain pula, merujuk kepada syarat-syarat tersirat yang menyentuh semua tanah berimilik, pemilik tanah hendaklah memastikan segala tindakan dilaksanakan dengan sewajar untuk memenuhi keperluan syarat nyata tanah dan tempoh masa yang ditetapkan demi memastikan tanah-tanah yang berkaitan tersebut berada dalam keadaan baik dan terjaga. Sebagai contoh, sekiranya tanah tersebut adalah merupakan tanah berstatus bangunan, maka pemilik tanah hendaklah mendirikan bangunan dalam tempoh masa dua (2) tahun seperti yang telah dinyatakan di dalam seksyen 116 Kanun Tanah Negara (Akta 828). Tujuan pematuhan tempoh masa tersebut adalah untuk memastikan tanah tersebut diselenggara dengan baik dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada pemilik-pemilik yang berdampingan.

    Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang gangguan atau ancaman yang merbahayakan daripada tanah-tanah terbiar yang dikenalpasti, pihak pengadu boleh memanjangkan aduan kepada mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan untuk diambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan langkah-langkah pencegahan dan penyelesaian secara menyeluruh dapat disediakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.