Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

277) ISU TANAH DI TANJONG PASIR, LADANG TENNAMARAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisme yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu pendudukan tanah tidak sah di Tanjong Pasir, Ladang Tennamaran?

    Untuk makluman Y.B., tanah Tanjung Pasir, Ladang Tennamaran telah diteroka secara tidak sah oleh peneroka-peneroka semenjak tahun 1965. Pada tahun 1998, peneroka-peneroka pernah memohon pemberimilikan tanah tersebut. Walau bagaimanapun, pada tahun 2011 permohonan telah ditolak melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

    Pada tahun 2013, tanah tersebut seluas 100 ekar telah diwartakan sebagai Tanah Ladang dengan melantik Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pegawai Pengawal dan diurus tadbir oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Tanah tersebut telah dipajak kepada dua buah syarikat iaitu Syarikat Biasan Suria Sdn Bhd dan Syarikat Trillion Projek Sdn Bhd pada tahun 2018. Tempoh pajakan adalah selama 21 tahun untuk tujuan pertanian dan penternakan. Oleh yang demikian, bagi mengatasi isu pendudukan tanah tidak sah di Tanjong Pasir Ladang Tennamaran, Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor mencadangkan dua langkah berikut :-

    i).   Tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 (Pencerobohan Tanah Kerajaan)

    Pada 9 April 2021, telah berlaku satu demonstrasi di Ladang Tennamaran, Bestari Jaya oleh peneroka-peneroka. Sehubungan dengan itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat kes tersebut. Keputusan siasatan telah meminta Pejabat Tanah Kuala Selangor mengeluarkan surat makluman kepada peneroka-peneroka yang terlibat mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini yang menolak permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah kerajaan. Seterusnya, mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan Notis 425 (Pencerobohan Tanah Kerajaan) kepada peneroka-peneroka yang masih menjalankan aktiviti di tanah berkenaan. Hal ini kerana tanah yang telah diwarta dan dipajak tidak dapat dipertimbangkan lagi untuk tujuan pemberimilikan.

     

    ii).  Rundingan di antara Pemajak dengan peneroka-peneroka

    Pemajak sepatutnya mengadakan rundingan dengan peneroka-peneroka yang masih mengusahakan tanah tersebut. Rundingan ini penting bagi memastikan pemajak dapat meneruskan projek pertanian mereka tanpa halangan.

    Peneroka-peneroka telah mendapat manfaat yang banyak sepanjang penerokaan tanah secara tidak sah selama 55 tahun semenjak tahun 1965 kerana tidak perlu membayar premium tanah dan cukai tanah dalam tempoh tersebut. Hasil usaha peneroka adalah hak peneroka sepenuhnya dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mendapat apa-apa hasil sepanjang tempoh tersebut. Kerajaan Negeri Selangor hanya mendapat hasil setelah tanah tersebut dipajak.

    Secara kesimpulannya, tindakan penguatkuasaan adalah satu tindakan drastik yang boleh menimbulkan bantahan besar-besaran daripada peneroka, campur tangan politik dan sebagainya. Adalah disyorkan diadakan satu rundingan terlebih dahulu bersama peneroka-peneroka, pemajak-pemajak dan Pihak Berkuasa Negeri. Sekiranya rundingan tersebut tidak berjaya, maka tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 akan dilaksanakan.

  2. Sila senaraikan peneroka yang memohon tanah di Tanjong Pasir, Ladang Tennamaran.

    Untuk makluman Y.B., Pejabat Tanah Kuala Selangor telah menerima senarai permohonan pemberimilikan berjumlah 339 peneroka pada tahun 1998. Walau bagaimanapun, pada tahun 2011, Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah menolak permohonan tersebut. Sehingga kini, tiada sebarang permohonan baru diterima daripada peneroka-peneroka tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.