Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
249) ISU SAMPAH HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah merata-rata dan mengakibatkan sampah haram terutamanya di kawasan perniagaan?
Statistik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor menunjukkan bahawa kes-kes berkaitan tempat pembuangan sampah secara haram di Negeri Selangor mencatatkan penurunan ketara daripada 1,983 kes pada tahun 2019 kepada 874 kes pada tahun 2020. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius mengenai isu pembuangan sampah haram. Oleh itu, bagi mengatasi masalah pembuangan sampah merata-rata yang mengakibatkan sampah haram terutamanya di kawasan perniagaan, Kerajaan Negeri melalui PBT telah melaksanakan beberapa usaha atau inisiatif bagi kawasan perniagaan / komersial sedia ada dan kawasan pembangunan akan datang iaitu:
i) Kawasan perniagaan / komersil sedia ada :
- Menetapkan dalam syarat / peraturan lesen perniagaan bahawa setiap premis perlu menyediakan tong sampah yang standard dan seragam seperti yang telah dilaksanakan oleh pihak Majlis iaitu tong sampah MGB660L bagi premis restoran / kedai makan dan lain – lain premis perniagaan lain pula disyaratkan tong sampah MGB240L.
- Menguatkuasakan peraturan yang telah ditetapkan melalui pemeriksaan rutin atau operasi penguatkuasaan kebersihan dan penggunaan tong sampah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007.
- Membuat intipan bagi lokasi yang bermasalah untuk mengenal pasti pelaku yang membuang sampah merata – rata / sampah haram di kawasan perniagaan.
- Mengarahkan kontraktor menjalankan kerja – kerja kutipan sampah di bahagian hadapan dan belakang premis pada setiap hari bagi mengelakkan longgokan sampah yang menyumbang pada tambahan buangan sampah oleh orang awam.
- Merobohkan rumah sampah berpusat yang telah dikenal pasti menjadi tempat pembuangan sampah haram dan ditukar menjadi tapak parkir awam.
ii) Kawasan perniagaan / komersil pembangunan baru / akan datang :
Menetapkan dalam syarat Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) bagi cadangan pembangunan kawasan perniagaan / komersial bertingkat bawah pihak pemaju perlu:
- Menyediakan kemudahan Refuse Chute System dan akses ruang di setiap tingkat bagi kemudahan membuang sampah.
- Menyediakan kebuk sampah di tingkat bawah (belakang premis) bagi setiap saluran chute system dengan saiz muatan bagi penempatan minimum satu (1) unit tong sampah mudah alih MGB660L atau MGB360L (ditetapkan oleh pihak Majlis mengikut perkiraan anggaran janaan sisa harian).
- Menyediakan minimum 1 unit tong sampah mudah alih MGB660L atau MGB360L (bergantung pada kiraan janaan sisa harian) di setiap kebuk sampah di tingkat bawah (belakang premis).
- Menyediakan tong sampah jenis standing bin kapasiti 80L (pengasingan sisa domestik dan sisa kitar semula) di kawasan tempat meletak kenderaan awam (island area / laluan pejalan kaki) untuk kemudahan pengguna awam (bilangan unit berdasarkan anggaran janaan sisa).
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga turut melaksanakan kempen secara berterusan bagi mendidik masyarakat khususnya rakyat Negeri Selangor seperti mengadakan “Kempen Kebersihan Hari-Hari Tiada Sampah” dan “Kempen Buang Sampah di Tong Sampah”.
-
Adakah kewajiban penyediaan tong sampah di setiap premis perniagaan perlu dilaksanakan?
Kewajiban penyediaan tong sampah di setiap premis perniagaan perlu dilaksanakan kerana telah diperuntukkan di bawah peruntukan UUK Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007, Bahagian II – Larangan Membuang Sampah seperti yang berikut:
- Seksyen 4 – Tiada seorang pun dibenarkan membuang apa-apa sampah dimana-mana tempat awam atau mana-mana tempat yang ditetapkan oleh Majlis sebagai tempat buang sampah (UUK 4).
- Seksyen 6 – Tuan punya atau penghuni tiap-tiap rumah atau bangunan hendaklah bertanggungjawab menyediakan tong sampah yang bertutup dan hendaklah diselenggara dalam keadaan baik
- Seksyen 7 (1) – Sampah sarap isi rumah hendaklah diisi dalam beg plastik dan diikat sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.
Perkara ini juga merupakan salah satu syarat wajib dalam permohonan lesen perniagaan sama ada bagi permohonan baru atau pembaharuan lesen perniagaan yang mana telah dinyatakan bahawa pemilik premis perlu menyediakan tong sampah. Selain itu, premis perniagaan juga disyaratkan untuk menjaga kebersihan di dalam kawasan premis serta ruang kaki lima di luar premis perniagaan.