Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

380) ISU SAMPAH DOMESTIK DAN PUKAL

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar Kerajaan Negeri berkenaan pengutipan sampah di kampung-kampung tradisi bagi seluruh Selangor khususnya di DUN Dengkil?

    Kampung tradisi, bagan dan tempat-tempat yang tidak terletak dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan masih diberi perkhidmatan kutipan sampah secara percuma oleh semua PBT sejak tahun 2017. Namun, pada masa ini, bantuan kewangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berpendapatan rendah bagi pengurusan kutipan sampah kampung ini hanya diteruskan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berstatus Majlis Daerah sahaja iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam. Manakala bagi Pihak Berkuasa Tempatan yang telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran, bantuan kewangan tidak lagi disalurkan seperti Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

    Walaupun tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf Majlis Perbandaran masih memberi perkhidmatan kutipan sampah secara percuma kepada kampung-kampung yang berkenaan seperti yang dimaklumkan sebentar tadi. Seperti contoh, Majlis Perbandaran Sepang ada menyediakan tong sampah yang ditempatkan di setiap bin point collection di kawasan kampung sebanyak 29 unit bagi seluruh kampung tradisi seperti berikut:

     

    1. Kampung Jenderam Hilir : 2 tong
    2. Kampung Jenderam Hulu : 2 tong
    3. Kampung Semarang : 6 tong
    4. Kampung Dengkil : 15 tong
    5. Kampung Sungai Merab : 4 tong
  2. Adakah penduduk yang membayar cukai tanah tidak mendapat perkhidmatan pengurusan sampah seperti di kawasan-kawasan perumahan yang ditadbir bawah PBT khususnya di DUN Dengkil?

    Kampung tradisi, bagan dan tempat-tempat yang tidak terletak di dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan serta tidak dikenakan cukai taksiran, secara prinsipnya tidak akan mendapat perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan seperti perkhidmatan kutipan sampah. Namun, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan keperluan penduduk Negeri Selangor. Oleh yang demikian, semua kawasan masih mendapat perkhidmatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Ini termasuklah pengurusan sampah di kampung-kampung supaya kebersihan berada di tahap yang baik dan tidak menjadi punca kepada punca penyakit dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.