Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
50) ISU RUMAH BEKAS PEKERJA LADANG
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah 64 keluarga bekas pekerja Ladang Sungai Belata yang telah menandatangani perjanjian dengan pemaju untuk membeli rumah kos rendah pada tahun 2001 telah mencapai persetujuan dengan pemaju penyelamat? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya
Ladang Sungai Belata pada asalnya dimiliki oleh Cipta Ria Sdn. Bhd. dan dipindahmilik kepada Lembah Beringin Sdn. Bhd. pada tahun 1989 bagi projek pembangunan rumah pemilikan sendiri untuk 64 keluarga bekas pekerja Ladang Belata.
Pemaju Tetuan Land And General Berhad telah menandatangani Perjanjian Jual Beli pada tahun 2001 dengan 64 keluarga melibatkan pembinaan 64 buah rumah dan kemudahan lain seperti tapak kuil, tapak dewan, tapak Sekolah Tamil dan kubur di atas tanah seluas 12.30 ekar di Lot 486 (G.60995) Mukim Kerling Daerah Hulu Selangor.
Setelah projek ini lama tertangguh, Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd. yang juga merupakan pemilik baru telah mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang pada 13 Julai 2015. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada 30 September 2015.
Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Kubu Bahru, isu ini telah dibawa ke perhatian saya pada 30 Disember 2015 oleh pihak Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata.
Sehubungan itu, pada 13 Januari 2016, pejabat saya telah mengemukakan satu surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk mendapatkan ulasan berhubung status projek pembinaan rumah Ladang Belata.
Pada surat bertarikh 3 Februari 2016, Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd. memohon untuk mendapatkan pengecualian bayaran caruman parit dan caj pembangunan dari Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).
Satu kertas EXCO Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah diangkat oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berhubung Rayuan Pengecualian Caj Pemajuan Bagi Permohonan Kebenaran Merancang Mengikut Seksyen 21 Akta 172 Bagi Tujuan Penyerahan dan Pemberimilikan Semula Tanah di Bawah Seksyen 204b (KTN) Bagi Cadangan Pembangunan 64 Unit Rumah Sesebuah (Penempatan Semula Pekerja Ladang) di atas Hak Milik GRN 60995 – Lot 486 Seluas 12.502 Ekar, Mukim Kerling Untuk Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd.
Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah menimbang dan menolak R2ayuan Pengecualian Caj Pemajuan Bagi Permohonan Kebenaran Merancang Mengikut Seksyen 21 Akta 172 Bagi Tujuan Penyerahan dan Pemberimilikan Semula Tanah di Bawah Seksyen 204b (KTN) Bagi Cadangan Pembangunan 64 Unit Rumah Sesebuah (Penempatan Semula Pekerja Ladang) di atas Hak Milik GRN 60995 – Lot 486 Seluas 12.502 Ekar, Mukim Kerling Untuk Tetuan Clarity Crest Sdn. Bhd.
Mesyuarat susulan telah diadakan pada 3 Mei 2016 dan diputuskan untuk menangguhkan projek Ladang Belata sehingga isu bekas pekerja ladang diselesaikan. Pada 26 Mei 2016, Jawatankuasa Tetap Pekerja ladang telah mengeluarkan surat rasmi bagi penangguhan projek tersebut kepada Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.
Kami difahamkan bahawa satu demonstrasi telah dianjurkan oleh bekas pekerja-pekerja Ladang Belata di Pejabat Land And General Berhad pada bulan Disember 2016.
Pihak Land And General Berhad menulis surat ke pejabat kami untuk mengadakan mesyuarat bersama bekas pekerja-pekerja Ladang Belata melalui surat bertarikh 2 November 2016.
Pada 21 Mac 2017, mesyuarat susulan telah diadakan di pejabat saya yang dihadiri oleh semua pihak. Semasa mesyuarat tersebut, Land & General Sdn. Bhd. telah mengaku bahawa mereka adalah Syarikat Induk kepada Lembah Beringin Sdn Bhd dan telah diliquiditasi pada 2006. Difahamkan, Land & General Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam mengambil alih urusan kebajikan pekerja Ladang Sungai Belata di mana mereka mempunyai anak syarikat Clarity Crest Sdn Bhd yang menjalankan projek pembangunan di Daerah Hulu Selangor.
Land & General Sdn. Bhd. telah menyatakan tuntutan Lot tapak asal tidak dapat ditunaikan kerana tapak tersebut telah terikat dengan pinjaman Bank dan dikeveatkan oleh bank-bank lain serta beberapa pihak yang mempunyai kepentingan di atas tapak asal tersebut. Oleh yang demikian, Land & General Sdn. Bhd. telah menawarkan tapak baru Lot Bernombor 486 seluas 12.30 ekar untuk dibahagikan lot persendirian kepada 64 keluarga.
Walau bagaimanapun wakil pekerja Ladang Sungai Belata seramai 53 keluarga tidak setuju dengan tawaran tapak baru tetapi ingin mengadakan perbincangan dengan Land & General Sdn. Bhd. untuk mendapatkan solusi yang lebih komprehensif.
Mesyuarat telah memutuskan untuk menunda ke tarikh baru pada 11 April 2017 selepas Jawatan kuasa Wakil Pekerja Ladang Sungai Belata dan Syarikat Land & General Sdn. Bhd. bersetuju mengadakan mesyuarat bersama dan akan memberi keputusan perbincangan pada hari mesyuarat tersebut. Pada masa yang sama, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor mengemukakan status tanah terkini atas Lot Asal berserta dengan Pelan kebenaran Merancang bagi Lot 486 pada 11 April 2017.
-
Nyatakan usaha-usaha Kerajaan Negeri yang membantu bekas pekerja ladang di Bukit Tagar yang diberikan notis pindah keluar oleh pemilik ladang yang baru
Isu bekas pekerja-pekerja Pengurusan Berjaya City Sdn Bhd adalah melibatkan lima (5) ladang iaitu Ladang Bukit Tagar, Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak. Sebanyak 197 keluarga menetap di ladang tersebut dan seramai 57 keluarga yang bersara dikenalpasti telah diberi Notis Pengusiran.
Tagar Properties Sdn. Bhd. telah mengeluarkan Notis Pengusiran bertarikh 11 March 2016 kepada 57 keluarga tersebut dan memberi tempoh sehingga 15 April 2016 untuk mengosongkan rumah.
Pada 18 April 2016, satu mesyuarat bersama YB ADUN Kuala Kubu Bahru, Majlis Daerah Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Berjaya City Sdn Bhd, Tagar Properties Sdn. Bhd., Kesatuan Sekerja dan Jawatan Kuasa Bekas Pekerja Berjaya City telah diadakan di pejabat EXCO. Mesyuarat memutuskan pihak Kumpulan Berjaya agar membuat suatu solusi dalam menyelesaikan isu perumahan bekas pekerja ladang.
Mesyuarat juga merujuk kepada surat Tetuan Berjaya City bertarikh 27 Februari 2008 bahawa setiap bekas pekerja akan mendapat peruntukan tanah seluas 4,000 kaki persegi.
Berjaya City melalui surat bertarikh 20 Januari 2015 telah memberi Surat Akujanji bahawa sekiranya Ladang Berjaya City dimajukan, maka mereka akan memastikan penyediaan perumahan tetap untuk pekerja dan memastikan segala kebajikan.
Pada 14 November 2016, satu mesyuarat susulan telah diadakan di Pejabat EXCO bersama Berjaya City. Ekoran daripada mesyuarat tersebut, Pihak Berjaya City melalui surat bertarikh 15 November 2016 berjanji akan membuat tawaran tunai sebanyak RM20,000 atau membuat pengurangan belian Rumah Selangorku kepada 69 orang keluarga bagi menggantikan tawaran asal iaitu memperuntukkan tanah seluas 4,000 kaki persegi.
Pada 30 November 2016, Jawatankuasa Pekerja telah menolak tawaran yang dikemukakan oleh Tetuan Berjaya City dan masih menuntut janji asal iaitu pampasan tanah seluas 4,000 kaki persegi dan juga memohon sumbangan untuk mendapatkan tapak tanah bagi Sekolah Tamil, kuil dan pembinaan dewan melalui mesyuarat bersama di Pejabat EXCO.
Walau bagaimanapun, perjumpaan dengan Y.Bhg. Dato’ Francis Ng Sooi Lin, Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Land Berhad telah memaklumkan bahawa syarikat mereka hanya dapat menawarkan sumbangan atas dasar “Corporate Social Responsibilities (CSR)” kepada 69 orang yang telah berkhidmat dengan syarikat mereka sahaja.
Pihak Berjaya City bersetuju untuk menawarkan Rumah Selangorku di Taman Berjaya (Berjaya Park), Shah Alam kepada setiap 69 orang kakitangan dengan diskaun sebanyak RM20,000 seunit sebagai ganti pampasan tanah seluas 4,000 kaki persegi kepada setiap bekas pekerja ladang tersebut.
Sehubungan itu, Berjaya City telah mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM) Pindaan Pelan Susunatur Bagi Cadangan Rumah Selangorku dengan rujukan (18)MBSA/PRG/2016-96(32A)Jld.4 pada 19 Ogos 2016 dan Pelan Tapak Cadangan Rumah Selangorku.
Merujuk kepada surat bertarikh 13 Mac 2017, kebajikan pekerja-pekerja ladang dan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat Berjaya City menyelesaikan isu 69 orang bekas pekerja ladang tersebut sepertimana berikut:
- Penawaran wang tunai sebanyak RM20,000 kepada mereka sekiranya pembangunan perumahan akan datang di kawasan tersebut gagal disediakan tertakluk kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam tempoh 2 tahun dari 13/03/2017 dan mereka boleh membuat tuntutan selepas tempoh tersebut ; atau
- Penawaran diskaun sebanyak RM20,000 kepada mereka ke atas pembelian pembangunan perumahan akan datang di kawasan tersebut tertakluk kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam tempoh 2 tahun.
Walau bagaimanapun, segala tawaran Berjaya City adalah di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan tanpa prejudis.