Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

221) ISU ROKOK ELEKTRONIK ATAU VAPE

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah statistik penggunaan vape dan rokok di kalangan remaja dan wanita di Negeri Selangor? Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi mengatasi gejala buruk ini?

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, berikut adalah statistik penggunaan vape dan rokok di kalangan remaja lelaki dan wanita di negeri Selangor berdasarkan berdasarkan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023:

     

    1. Statistik Penggunaan Rokok di Selangor
    • Prevalens Perokok Tembakau (Current Tobacco Smokers) di Selangor:
      • 5%, iaitu yang paling rendah berbanding negeri lain​.
      • Mengikut jantina:
        • Lelaki: 35.7%
        • Perempuan: 0.9%
      • Bagi kumpulan umur 15 – 24 tahun: 12.0%

     

    1. Statistik Penggunaan Vape di Selangor
    • Prevalens Pengguna Rokok Elektronik/ Vape (Current E-Cig/Vape Users) di Selangor:
      • 9%
      • Mengikut jantina:
        • Lelaki: 9.1%
        • Perempuan: 0.7%
      • Bagi kumpulan umur 15 – 24 tahun: 9.7%
      • Lebih tinggi dalam kalangan penduduk bandar (5.5%) berbanding luar bandar (3.2%)​.

     

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, dengan pewartaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menunjukkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok, termasuk aktiviti pemasaran serta promosi tidak beretika yang menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja.

    Di bawah Seksyen 9, Akta 852 tiada seorang pun boleh mempromosi atau menaja, atau mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan apa-apa produk merokok, yang dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok atau dipromosikan sebagai produk berhenti merokok.

    Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan:

    1. Bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan
    2. Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM 30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.

Lampiran

Tiada Lampiran.