Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
215) ISU RASUAH PENJAWAT AWAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan yang telah dibuat dalam membendung salahguna kuasa dan rasuah penjawat awam di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD)?
Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDT Klang) telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam membendung salahguna kuasa dan rasuah dalam kalangan kakitangan melalui tindakan seperti berikut :
- Pelaksanaan pusingan kerja secara proaktif dan berperingkat bagi kakitangan yang menjawat jawatan sensitif* sejak 1 November 2023 sehingga terkini pada 3 Februari 2025 dengan penglibatan seramai 43 orang kakitangan pelbagai jawatan dan gred.
*Jawatan sensitif ditakrifkan sebagai jawatan yang dibekalkan dengan kuasa dan:
- terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang;
- terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau apa-apa bentuk habuan;
- penyandangnya dikehendaki menjalankan tugas membuat bayaran kepada atau membuat kutipan hasil daripada pelanggan; dan
- penyandangnya membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan budi bicara sama ada seseorang itu layak atau tidak layak mendapat sesuatu, atau telah / tidak melanggar sesuatu peraturan atau undang-undang.
- ii) Hebahan Integriti berkenaan tatakelakuan dan peraturan-peraturan pegawai awam telah dilaksanakan secara berkala oleh Pegawai Integriti Jabatan/Unit Integriti sepanjang tahun.
iii) Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah tahunan diadakan pada setiap perhimpunan jabatan yang pertama. Bagi tahun 2024, Majlis Pelancaran Program Pementoran, Bacaan Ikrar Akta Rahsia Rasmi dan Ikrar Bebas Rasuah telah dijalankan pada 26 Januari 2024.
- iv) Penganjuran siri ceramah kerohanian bagi memupuk nilai-nilai murni dan akhlak mulia dalam membentuk jati diri dan sebagai platform muhasabah dan peringatan melalui perkongsian dan nasihat agama oleh para penceramah yang dijemput khusus bagi setiap program sepanjang tahun.
- v) Laporan rasmi kepada Ketua Jabatan apabila terdapat aduan tatakelola dan tatakelakuan terhadap kakitangan untuk tindakan siasatan dalaman melalui platform Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia dan perbincangan berkala bersama Unit Integriti Pentabdiran Kerajaan Negeri Selangor.
-
Apakah tindakan segera dibuat oleh PTD Kelang setelah pada 10.1.2025 PDRM mendedahkan 17 individu sudah disiasat dengan kerugian berjumlah RM7.1 juta
akibat tuduhan rasuah/ salahguna kuasa?Pendedahan pihak PDRM bertarikh 10 Januari 2025 adalah rentetan daripada siasatan kes yang dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan berdasarkan siri laporan polis yang dibuat oleh Penolong Pegawai Daerah (PPD) Unit Pendaftaran berikutan insiden kehilangan dokumen perserahan dalam simpanan jabatan melibatkan beberapa proses pindahmilik hakmilik yang meragukan dan juga aduan yang diterima daripada orang awam mengenai beberapa transaksi pindahmilik melibatkan penyalahgunaan data peribadi pengadu yang digunakan tanpa kebenaran. Setelah semakan dibuat terdapat tujuh (7) hakmilik yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pindahmilik.
Sepanjang tempoh siasatan polis dijalankan bermula 13 September 2024 sehingga terkini, sejumlah 19 orang kakitangan PDT Klang telah dipanggil oleh pihak IPD Klang Selatan dan IPK Selangor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. 7 daripada 19 orang kakitangan PDT Klang telah ditahan reman secara berperingkat dari tempoh 6-8 November 2024, 11-15 November 2024 dan 15-22 November 2024. Kesemuanya telah dibebaskan melalui ikat jamin pihak polis dan dilaksanakan pertukaran penempatan oleh pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (BPSM, PSUK Selangor) bagi memastikan siasatan polis ke atas jabatan dapat dijalankan dengan lancar.
-
Apakah bentuk kesalahan yang dituduh itu?
Kesalahan yang dituduh adalah berkenaan penipuan yang melibatkan urusan pindahmilik tanah melalui perubahan tanpa kebenaran maklumat tuan tanah di dalam Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Selain itu, dokumen urusan proses pindahmilik tersebut telah hilang daripada simpanan jabatan.
Kes ini disiasat adalah dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa;
Barang siapa menipu dan dengan jalan demikian itu mendorong secara tidak jujur orang yang terpedaya, sama ada atau tidak perdayaan yang diamalkan itu ialah dorongan tunggal atau utama, supaya menyerahkan apa-apa harta kepada mana-mana orang, atau supaya membuat, mengubah, atau membinasakan kesemua atau apa-apa bahagian sesuatu cagaran berharga, atau apa-apa yang bertandatangan atau bermeteri, dan yang boleh dijadikan suatu cagaran berharga, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.