Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

356) ISU PINDAH MILIK TANAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras kegiatan kartel yang terlibat dalam pemindahan milik tanah secara tidak sah?

    Kerajaan Negeri memandang serius isu kegiatan kartel yang terlibat dalam pemindahan milik tanah secara tidak sah dan telah mengambil pelbagai langkah tegas bagi membanteras aktiviti ini. Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    1. Pengukuhan Sistem e-Tanah yang dilengkapi ciri keselamatan yang ketat termasuk penggunaan peranti biometrik dan token digital bagi melaksanakan fungsi Prasarana Kunci Awam (PKI) kepada pengguna-pengguna sistem di Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah;
    2. Integrasi sistem dengan pangkalan data agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Badan Peguam Malaysia bagi memastikan urusniaga pindah milik tanah dilakukan oleh pemilik yang sah dan peguam yang berdaftar;
    3. Penggunaan kertas dengan ciri-ciri keselamatan bersama cetakan kod bar digital untuk mengelakkan pemalsuan dokumen hakmilik tanah (geran);
    4. Mewajibkan pengesahan biometrik kepada semua penyerah (“runner”) yang berdaftar dengan firma guaman;
    5. Bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras kegiatan kartel dalam urusan pemindahan milik tanah; dan
    6. Menjalankan kempen kesedaran kepada pemilik tanah bagi memastikan mereka memahami prosedur sah dalam pindah milik tanah dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pihak yang tidak bertanggungjawab.
  2. Apakah rancangan kerajaan untuk menambahbaik prosedur operasi standard sistem e-Tanah bagi mengesan sebarang salah laku ?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sistem e-Tanah bagi memastikan ketelusan, kecekapan, dan integriti dalam pengurusan tanah. Beberapa langkah penambahbaikan yang dirancang dan sedang dilaksanakan termasuk:

     

    1. Mewajibkan pelaksanaan pengesahan biometrik kepada kedua-dua pihak penjual dan pembeli bagi urusniaga pindah milik tanah yang melebihi nilai RM1 juta bagi hakmilik Pentadbir Tanah dan RM5 juta bagi hakmilik Pejabat Pendaftar;
    2. Memperkemas prosedur permohonan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ketat termasuk pengesahan identiti oleh peguam berdaftar bagi setiap penyaksian urusan pindah milik tanah;
    3. Memastikan hanya peguam dan firma yang berdaftar sahaja dibenarkan membuat perserahan pindah milik tanah bagi urusan yang diwakili oleh peguam; dan
    4. Mengadakan latihan berkala kepada pegawai Pejabat Tanah/Daerah dan pengguna sistem bagi memastikan mereka memahami peraturan terkini serta cara mengelakkan penipuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.