Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

137) ISU PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana kerajaan negeri merancang untuk mengadaptasi perubahan iklim, termasuk menangani isu banjir kilat, peningkatan suhu, dan kemarau yang semakin kerap berlaku?

    Negeri Selangor kini berdepan dengan impak perubahan iklim yang semakin ketara dan tidak menentu menerusi beberapa kejadian banjir kilat, peningkatan suhu dan kemarau yang menjejaskan aktiviti pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat. Sehubungan itu, terdapat keperluan supaya Kerajaan Negeri menyediakan satu pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi menghadapi situasi yang tidak menentu ini.

     

    Susulan daripada kejadian bencana yang kerap berlaku ini, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan segera dengan menambahbaik dan menaiktaraf infrastruktur asas bagi menangani banjir. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah membuat perancangan pengurusan banjir seperti berikut:

     

    • Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir;
    • Menaiktaraf sistem saliran;
    • Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat;
    • Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) dan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor; dan
    • Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

     

    Seperti mana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor pada November 2024 yang mana ianya merupakan satu panduan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. Menerusi dasar ini, turut digariskan adalah keperluan mewujudkan polisi kecekapan tenaga di bangunan Kerajaan Negeri Selangor, swasta dan industri dalam usaha untuk memastikan penggunaan dan kos tenaga dapat dijimatkan, mengurangkan kadar pelepasan karbon sektor bangunan seterusnya menangani peningkatan suhu bandar.

     

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi tujuan tersebut seperti berikut:

     

    • Pembangunan Low Carbon Cities Framework (LCCF) oleh 12 PBT di Negeri Selangor.
    • Bertujuan untuk membantu bandar dan kawasan pembangunan mengurangkan pelepasan karbon serta menuju ke arah pembangunan yang mampan;
    • Menfokuskan kepada beberapa elemen seperti pembangunan bandar, pengangkutan, mobiliti dan infrastruktur.

     

    • Penambahan ruang hijau, pokok teduhan dan laluan hijau seperti projek Jaringan Hijau di bawah Kajian Pelan Induk Landskap Shah Alam 2035 yang telah menggariskan penyediaan Pocket Park yang dibina sekitar pusat bandar Shah Alam sebagai ruang landskap selingan yang berfungsi sebagai ruang istirehat bagi pejalan kaki.

     

    • Melaksanakan kempen kesedaran dan pemahaman bagi orang awam mengenai kepentingan untuk meningkatkan kehijauan bandar dengan menumpukan kepada aktiviti penanaman pokok di setiap rumah serta mempelbagaikan landskap bandar dengan menggalakkan penanaman pokok di bangunan dan laluan pejalan kaki serta kawasan lapang.

     

    Bagi menangani isu kemarau, pendekatan pengurusan air yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan LUAS adalah seperti berikut:

     

    • Pembekalan sumber air kini dilaksanakan melalui projek Off River Storage atau Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang bertindak secara dwifungsi bagi kegunaan takungan sumber air dan mitigasi banjir. Sebagai contoh projek di hilir sungai adalah ORS Labohan Dagang, ORS Bestari Jaya dan HORAS 600 Bestari Jaya. Pendekatan ini dilaksanakan bagi menambah rizab simpanan air dalam menghadapi musim kering. Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas (Taskforce) Kemarau Negeri Selangor bagi merangka pelan tindakan untuk mengatasi masalah kemarau secara bersepadu. Perancangan ini turut melibatkan data cerapan dari pelbagai agensi seperti MET Malaysia dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

     

    • Selain itu, perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) berupaya untuk memastikan kecukupan air mentah semasa musim kemarau. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah melaksanakan pembangunan inventori yang menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan memanfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang telah disenaraikan sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada.

     

    • Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor dan PBT akan mempergiatkan lagi Kempen Jimat Air bagi memastikan penggunaan air secara berhemah; dan

     

    • Pengurusan Air Selangor juga akan sentiasa memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.