Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
187) ISU PERMOHONAN TANAH DUN RAWANG
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan perkembangan pemohonan tanah di Taman Bukit Rawang Jaya, Pekan Batu Arang, Jalan Stesen Batu Arang dan Bukit Nenas Batu Arang.
Status permohonan tanah bagi kawasan tersebut adalah seperti berikut:-
i) Taman Bukit Rawang Jaya
Berdasarkan rekod di PTD Gombak, terdapat sebanyak 188 permohonan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di Taman Bukit Rawang Jaya, Bandar Rawang bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan. Dahulunya tapak-tapak yang dipohon adalah merupakan tanah hakmilik blok yang didaftarkan di atas nama Rawang Industrials & Properties Sdn Bhd dan telah dirampas oleh Kerajaan Negeri akibat kegagalan membayar cukai selama lebih daripada 10 tahun kerana pemilik tanah telah diisytihar muflis. Kawasan tersebut telahpun dibangunkan dengan bangunan kediaman dan perniagaan yang telah diduduki oleh pemohon. Pemohon-pemohon adalah merupakan pembeli yang telah dibanci dan disahkan oleh YB ADN Rawang.
Kertas ringkasan bagi permohonan tersebut telah dikemukakan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor pada 17 Februari 2022 untuk tindakan selanjutnya.
ii) Bukit Nenas, Batu Arang
Berdasarkan rekod di PTD Gombak, terdapat sebanyak 86 permohonan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di Bukit Nenas, Bandar Batu Arang bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan. Dahulunya tapak yang dipohon adalah merupakan kawasan dan bangunan yang dibina oleh Syarikat Arang Batu yang beroperasi di kawasan Batu Arang untuk dijadikan rumah pekerja. Setelah operasi perlombongan batu arang tamat, kawasan dan bangunan tersebut telah diambil alih oleh bekas pekerja lombong dan penduduk setempat untuk dijadikan tempat kediaman.
Kertas ringkasan bagi permohonan tersebut telah dikemukakan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor pada 27 Januari 2022 untuk tindakan selanjutnya.
iii) Jalan Stesen, Batu Arang
Berdasarkan rekod di PTD Gombak, terdapat sebanyak 58 permohonan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di Jalan Stesen, Bandar Batu Arang bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan. Dahulunya tapak yang dipohon adalah merupakan kawasan dan bangunan yang dibina oleh Syarikat Arang Batu yang beroperasi di kawasan Batu Arang untuk dijadikan rumah pekerja. Setelah operasi perlombongan batu arang tamat, kawasan dan bangunan tersebut telah diambil alih oleh bekas pekerja lombong dan penduduk setempat untuk dijadikan tempat kediaman.
Penyediaan kertas ringkasan bagi permohonan tersebut dalam peringkat akhir dan sedang dimuktamadkan. PTD Gombak akan mengemukakan kertas ringkasan tersebut kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor pada pertengahan Mac 2022.
-
Nyatakan perkembangan permohonan pelanjutan tempoh pajakan tanah Kampung Sungai Terentang.
Berdasarkan rekod permohonan di PTD Gombak, terdapat sebanyak 82 permohonan untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah di Kampung Sungai Terentang, Bandar Rawang bagi tujuan bangunan kediaman. Oleh kerana keluasan tanah yang diusahakan di tapak adalah berbeza dengan keluasan tanah yang telah didaftarkan di dalam hakmilik sementara, maka PTD Gombak sedang menyediakan dan memuktamadkan kertas ringkasan untuk dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi pertimbangan kepada pindaan keluasan tanah sekaligus melanjutkan tempoh pajakan tanah berdasarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 12/2010